JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia akan melaksanakan Operasi Khas Motosikal Tahun 2024 selama dua bulan bermula hari ini hingga 31 Disember depan di seluruh negara.
Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata pelaksanaan operasi itu adalah susulan daripada statistik yang membimbangkan dengan peningkatan trend kadar kemalangan dengan kematian secara bulanan melibatkan motosikal.
Beliau berkata berdasarkan rekod pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 1,908 atau 70 peratus (%) kadar kemalangan dengan kematian secara bulanan dilaporkan melibatkan motosikal.
“Operasi itu dilaksanakan terhadap penunggang dan pemilik motosikal bagi pematuhan undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Kaedah – Kaedah di bawahnya.
“Bagi mensasarkan pengurangan jumlah kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya bagi tempoh sukuan ke-3 dan ke-4 tahun ini, strategi penguatkuasaan secara berfokus dilakukan.
“Ini adalah untuk memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap penunggang dan pemilik motosikal yang gagal mematuhi peraturan-peraturan yang sedang berkuat kuasa,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihak JPJ akan memfokuskan kepada lapan kesalahan utama dalam usaha mencapai objektif keseluruhan operasi ke arah meminimumkan kadar kemalangan dan kematian.
Menurutnya, kesalahan itu adalah tiada lesen memandu, tiada atau tamat tempoh Lesen Kenderaan Motor (LKM), tiada perlindungan insurans dan melanggar isyarat lalu lintas (lampu merah).
Katanya, kesalahan lain pula termasuk ubah suai kenderaan (extreme), tidak memakai topi keledar, lumba haram dan kesalahan lain (teknikal).
Sehubungan itu, beliau berkata JPJ memohon kerjasama khususnya penunggang dan pembonceng motosikal untuk sentiasa mematuhi undang-undang serta peraturan jalan raya dan bertoleransi bersama pengguna jalan raya yang lain demi keutamaan keselamatan ketika di jalan raya.
“Usaha ini juga adalah untuk meminimumkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya di negara selaras dengan Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (PKJRM),” katanya.
Beliau turut menyeru orang awam untuk melaporkan aduan secara terus menerusi aplikasi MyJPJ : e-Aduan@JPJ atau e-mel ke [email protected] berserta butiran lengkap aduan. – WILAYAHKU