Berita

JPJ fokus sembilan kesalahan utama dalam Operasi Khas Tahun Baru Cina

- Diterbit 21 Januari 2025 6:16 PM MYT

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) memfokuskan sembilan kesalahan utama menerusi Operasi Khas Tahun Baru Cina 2025 dan Kempen Keselamatan Jalan Raya – Pandu Cermat, Sampai Selamat’ yang bermula 20 Januari hingga 9 Feburai ini.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata Operasi Khas Tahun Baru Cina 2025 adalah bertujuan untuk memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap pengguna jalan raya yang melanggar peraturan-peraturan atau undang-undang jalan raya yang berkuatkuasa menerusi Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

“Melalui Operasi Khas ini, JPJ akan memfokuskan kepada sembilan kesalahan utama iaitu memandu melebihi had laju; tidak mematuhi isyarat lampu mereh; memotong di garisan berkembar dan memandu di lorong kecemasan.

“Selain itu, JPJ akan mengambil tindakan atas kesalahan memotong barisan; guna telefon bimbit; tidak memakai tali pinggang keledar dan topi keledar; memandu kenderaan berat di lorong laju dan lebih muatan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Katanya, menerusi kempen keselamatan jalan raya – ‘Pandu Cermat, Sampai Selamat’, pihak JPJ akan melaksanakan pelbagai kaedah dan pendekatan advokasi keselamatan jalan raya melalui lebih 30 program.

“Ia antaranya melibatkan pameran, ceramah kesedaran, edaran kit keselamatan jalan raya dan program advokasi dengan kerjasama rakan strategik terutama pihak media,” katanya.

Aedy Fadli berkata bersempena dengan Tahun Baru Cina 2025, pihaknya memohon pengguna jalan raya untuk sentiasa mematuhi peraturan-peraturan jalan raya selain mereka perlu memastikan kenderaan masing-masing diselenggara dengan baik dan selamat.

“Pengguna dinasihatkan untuk merancang perjalanan ke destinasi yang dituju serta perlu mendapatkan rehat yang secukupnya dan berhenti di mana-mana kawasan rehat dan Rawat (R&R) jika keletihan,” katanya.

Beliau berkata pihak JPJ sentiasa komited untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara seterusnya bagi mencapai sasaran pengurangan statistik kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya sekurang-kurang 50 peratus menjelang tahun 2030. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas