Berita

JPJ cadang wujudkan notifikasi maklum tarikh tamat tempoh lesen

Foto: BERNAMA
- Diterbit 20 November 2024 5:27 PM MYT

KEMENTERIAN Pengangkutan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merancang untuk melaksanakan penambahbaikan aplikasi MyJPJ secara berfasa dari semasa ke semasa.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata antaranya adalah penambahbaikan bagi mewujudkan fungsi notifikasi pemakluman tarikh tamat tempoh Lesen Kenderaan Motor (LKM) dalam agenda pendigitalan JPJ.

“Pelaksanaan itu tertakluk kepada keutamaan penambahbaikan dan kos perbelanjaan yang diperuntukkan.

“Fungsi ini akan dimaklumkan kepada umum apabila ianya siap dibangunkan dan sedia untuk digunakan,” katanya di dalam waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) berhubung langkah kementerian bagi mengingatkan pemilik kenderaan agar tidak terlupa untuk memperbaharui LKM memandangkan sistem road tax digital tidak memerlukan pelekat cukai jalan dipamerkan.

Dalam pada itu, Anthony menjelaskan, sejak inisiatif pendigitalan JPJ dilancarkan, kementeriannya dan jabatan itu sentiasa komited untuk menambah baik aplikasi MyJPJ dari semasa ke semasa untuk meningkatkan tahap penyampaian perkhidmatan atas talian kepada orang ramai.

Katanya, antara penambahbaikan terkini yang dilaksanakan adalah pengenalan fungsi pembaharuan LKM dan pembaharuan Lesen Memandu (LMM) yang telah dibuka kepada orang awam sejak 1 Februari 2024.

“Inisiatif ini telah dilaksanakan secara berperingkat dengan fasa pertama melibatkan mod paparan digital e-LKM dan e-LMM bagi kenderaan persendirian individu iaitu warganegara yang boleh diakses melalui Portal Awam JPJ atau Aplikasi Mobile MyJPJ,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas