Berita

JPJ ambil tindakan sita, lucut hak kenderaan gagal patuhi peraturan

- Diterbit 26 Disember 2024 6:30 PM MYT

SUSULAN beberapa siri kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya yang melibatkan kenderaan perdagangan, pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia akan mengambil tindakan sita dan lucut hak kepada kenderaan yang gagal mematuhi peraturan.

Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Malaysia, Aedy Fadly Ramli berkata tindakan itu di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) dan Kaedah-Kaedah di bawahnya menerusi Operasi Khas ‘Gempur Teknikal’ di seluruh negara.

“Menerusi tindakan penguatkuasaan tersebut, pemilik syarikat atau kenderaan akan diambil tindakan dibawah Seksyen 57 Akta 715 atas kesalahan disyaki Melanggar Lesen Pengendali iaitu gagal memberikan keutamaan yang tinggi ke atas pengguna jalan raya yang lain.

“Sekiranya disabitkan kesalahan boleh didenda di bawah seksyen yang sama iaitu denda tidak kurang RM 1,000 dan tidak melebihi RM 500,000,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut, Aedy tindakan atas kesalahan tersebut juga, kenderaan yang terlibat boleh disita di bawah Seksyen 80 Akta 715 dan kenderaan itu turut boleh dilucuthak sekiranya sabit kesalahan.

Beliau berkata menerusi Operasi Khas ‘Gempur Teknikal’ di seluruh negara, pihak JPJ akan menumpukan penguatkuasaan terhadap kenderaan perdagangan kepada kesalahan lebih muatan, teknikal, dokumentasi, lalu lintas dan teknikal pembuatan dan penggunaan kenderaan.

“Pihak JPJ juga ingin menegaskan tiada kompromi terhadap pemandu atau pemilik kenderaan perdagangan yang gagal mematuhi peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Kaedah-Kaedah di bawahnya, Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

“Tindakan penguatkuasaan yang lebih tinggi terus dipertingkatkan dan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan tahap pematuhan peraturan keselamatan jalan raya di seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, Aedy berkata JPJ memandang serius dengan trend kemalangan yang melibatkan kenderaan perdagangan sehingga menyebabkan kematian pengguna jalan raya yang lain. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas