JABATAN Perkhidmatan Awam (JPA) akan menumpukan kepada lima insiatif utama dalam memeperkukuh perkhidmatan awam sebagai tunjang utama pentadbiran negara.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, ia selaras Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sempena Pembukaan Penggal Keempat, Parlimen Kelima Belas.
Wan Ahmad Dahlan menegaskan bahawa JPA akan terus berperanan sebagai peneraju dalam memastikan pegawai awam sentiasa bersedia menghadapi cabaran baharu serta berdaya saing dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Lima insiatif utama itu ialah reformasi perkhidmatan awam, pemerkasaan modal insan dan penjagaan kebajikan, kesejahteraan pegawai awam, peningkatan integriti dan akauntabiliti serta pengukuhan identiti nasional dan semangat perkhidmatan.
“Menerusi reformasi perkhidmatan awam, JPA akan memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan dengan menerapkan amalan kerja berasaskan digital bagi mengurangkan kerenah birokrasi dan meningkatkan kecekapan operasi kerajaan serta memastikan perkhidmatan awam lebih responsif terhadap keperluan rakyat dan sektor ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Wan Ahmad Dahlan berkata menerusi pemerkasaan modal insan pula, JPA melaksanakan program latihan dan pembangunan berterusan bagi meningkatkan kemahiran dan daya saing pegawai awam dalam era teknologi tinggi dan digital.
“JPA mengukuhkan budaya kerja berasaskan integriti, ketelusan dan profesionalisme bagi memastikan kepercayaan rakyat terhadap perkhidmatan awam terus terpelihara dan menggalakkan tadbir urus yang cekap dan bertanggungjawab dalam semua aspek pengurusan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata titah penghargaan daripada Seri Paduka Baginda kepada pegawai awam bukan sekadar pengiktirafan tetapi juga satu amanah besar untuk memastikan perkhidmatan awam terus relevan, cekap dan sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat.
“JPA akan terus menerajui usaha-usaha pembaharuan dan memastikan sektor perkhidmatan awam bergerak seiring dengan perkembangan semasa bagi menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan sejahtera,” katanya. – WILAYAHKU