Berita

JPA beri perhatian penambahbaikan SSPA Fasa 1

- Diterbit 22 Januari 2025 10:36 AM MYT

MESYUARAT Kerja Pasca SSPA Fasa 1 dilaksanakan bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas susulan daripada pelaksanaan SSPA berkuat kuasa mulai 1 Disember 2024 lalu.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, pelaksanaan berterusan maklum balas yang diperoleh daripada Kementerian / Jabatan Persekutuan dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, memberi peluang kepada JPA untuk meneliti dan memberi perhatian terhadap isu-isu terkait pengurusan perubahan (change management) di sektor awam.

“Penganjuran mesyuarat ini menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam memastikan tiada mana-mana skim dalam sektor awam dipinggirkan dengan memberi perhatian serius terhadap sebarang pandangan dan ulasan yang membina untuk penambahbaikan agar semua perjawatan mendapat manfaat daripada SSPA.

“Ini adalah sejajar dengan semangat SSPA, untuk mengangkat Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam dalam Malaysia MADANI, demi mencapai tiga (3) ikhtiar penting iaitu meningkatkan kadar produktiviti dan kecekapan perkhidmatan awam, kesediaan pegawai awam dalam melaksanakan perubahan dan sekali gus merancakkan daya saing negara,” ujarnya dalam kenyataan.

Tambahnya, penganjuran mesyuarat kali ini juga memberi pertimbangan sewajarnya terhadap isu-isu pengurusan sumber manusia setelah pelaksanaan Fasa 1 SSPA serta memfokuskan hasil dapatan Sesi Penandaarasan Kajian SSPA, yang turut merujuk aspek amalan terbaik perkhidmatan awam di kebanyakan negara-negara lain.

“Ini bagi mengiktiraf ekosistem pembangunan perjawatan yang lebih komprehensif demi menjamin modal insan ke arah pendigitalan dan teknikal dalam perkhidmatan, khususnya pendedahan kepada pegawai awam muda,” ujarnya.

Terdahulu, JPA hari ini mengadakan Mesyuarat Kerja Pasca SSPA Fasa 1 bersama-sama dengan Pengurus Sumber Manusia Kementerian/ Jabatan Persekutuan dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas