Berita

Jonathan, Farel terus martabatkan fesyen tradisional Melayu secara AI sempena siri Jelajah Pesona Kebaya

JONATHAN (enam dari kiri) dan Farel Mikhail (enam dari kanan) bersama Wilson Tan (tengah) dan model-model yang menggayakan busana kebaya rekaan FM Group.
- Diterbit 4 Oktober 2024 7:37 AM MYT

MESKIPUN pelbagai fesyen moden dan kontemporari ‘disajikan’ kepada masyarakat hari ini, namun keistimewaan dan keunikan busana tradisional Melayu tetap berada dalam kelasnya yang tersendiri.

Apa yang lebih membanggakan apabila persalinan tradisional Melayu kini makin diminati generasi muda yang lebih terbuka dan berani menggayakan pemakaian warisan dalam pelbagai acara.

Bagi dua pereka fesyen yang sedang meningkat naik namanya, Jonathan Kok dan Farel Mikhail dari FM Group, penerimaan positif terhadap busana tradisional terutamanya kebaya itu diteruskan menerusi siri Jelajah Pesona Kebaya.

JONATHAN (enam dari kiri) dan Farel Mikhail (enam dari kanan) bersama Wilson Tan (tengah) dan model-model yang menggayakan busana kebaya rekaan FM Group.

Program siri jelajah yang diberi nama bersempena buku terbitan mereka Pesona Kebaya ini bermula pada hari ini di acara World Top Gourmet Awards 2024 yang berlangsung di Sunway Resort Hotel, Petaling Jaya, Selangor.

“Menurut Farel, FM Group berpeluang menonjolkan rekaan kebaya mereka dalam pertunjukan fesyen pada Khamis.

“Alhamdulillah, destinasi pertama untuk siri Jelajah Pesona Kebaya berlangsung dengan jayanya.

“Apa yang menarik, kami dapat mengetengahkan 14 jenis kebaya antaranya Kebaya Kota Bharu, Perlis, Pahang, Baba Nyoya, Johor – Riau serta banyak lagi dalam kalangan 1500 penonton berbilang kaum seperti Melayu, Cina dan India yang hadir dalam acara itu.

“Rupa-rupanya masih ramai yang tak tahu fesyen kebaya ada pelbagai jenis dan latar belakang. Semua maklumat itu telah kami kumpukan dalam sebuah buku Pesona Kebaya yang telah dilancarkan sebelum ini.

“Apa yang ada dalam buku tersebut, kami terjemahkan dalam bentuk pertunjukan fesyen malam ini,” katanya.

Manakala menurut Jonathan pula, pertunjukan fesyen ini turut mendapat sentuhan teknologi AI atau kecerdasan buatan (Artificial Intelligence) yang popular kerana boleh meniru tingkah laku serta pemikiran manusia.

“Seiring dengan trend masa kini, buat pertama kali di Malaysia, kami menggunakan konsep teknologi AI yang turut memperaga serta memperkenalkan secara terperinci fesyen kebaya yang dibawakan.

“Ini secara tak langsung menarik minat penonton terutamanya generasi muda untuk mendalami lagi tentang fesyen kebaya. Bagi saya, gabungan AI dan fesyen tradisional merupakan langkah baharu yang perlu diteruskan demi memartabatkan kebaya.

“Kami akan menggunakan konsep yang sama dalam siri Jelajah Pesona Kebaya yang akan datang. Lokasi seterusnya akan kami umumkan dalam media sosial FM Group,” ujarnya.

Pertunjukan fesyen kebaya itu telah disempurnakan oleh Elégante Modelle yang turut menampilkan model-model iaitu Michelle Koong, Vinly Yim, Sally Lim, Angie Tan, Stella Lim, Veron Tan, Tracy Shi, Lee Tieng Tieng, Joyce Ng dan Angel Kwat.

Bukan itu sahaja, FM Group juga menampilkan muse mereka iaitu Wilson Tan yang pernah dinobatkan sebagai Asia Best Model dan Malaysia Top Male Supermodel. Wilson juga seorang Catwalk Coach dan Modeling Mentor.

Sedikit info tentang buku Pesona Kebaya, apa yang istimewa Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah telah berkenan mencemar duli melancarkan buku Pesona Kebaya- Enchanting of Kebaya (Dwi-Bahasa) pada Malam Gala di Menara Affin, Tun Razak Exchange (TRX), pada 4 Ogos baru-baru ini.

Terdahulu, seperti apa yang telah dilaporkan pihak media, tahun lalu pakaian tradisional kebaya telah dihantar pencalonan ke Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di bawah kategori Representative List of the Intangible Cultural Heritage (ICH) of Humanity.

Di negara ini, kebaya merupakan pakaian yang mewakili warisan budaya dan identiti penting bagi kaum wanita Melayu, Peranakan (Baba Nyonya, Chetti dan Jawi) dan lain-lain masyarakat di Malaysia.

Disebabkan faktor ini dan membawa slogan ‘Pesona Kebaya Road To UNESCO, ia menjadi pilihan buat Jonathan Kok dan Farel Mikhail untuk menghasilkan buku Pesona Kebaya dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) bagi mempromosi baju kebaya di dalam dan luar negara.

“Bagi kami, anak-anak muda memainkan peranan penting dalam meneruskan budaya turun temurun nenek moyang kita.

“Saya harap buku Pesona Kebaya ini terus mendapat sambutan ramai kerana ia berkenaan budaya kita. Siapa lagi mahu berbangga dengan budaya kita kalau bukan kita sendiri.

“Selain itu, buku ini juga boleh dijadikan sebagai rujukan kepada pelajar yang mengambil bidang fesyen atau sesiapa sahaja yang meminati fesyen. Mereka boleh melihat perbezaan seperti pola dan cara jahitannya,” jelas Jonathan. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas