MUSIM cuti sekolah kini kembali dan pastinya ibu bapa sibuk merancang percutian menarik buat anak-anak sempena cuti yang masih lagi berbaki beberapa hari ini.
Mungkin masih ramai yang tidak pernah berkunjung ke Putrajaya, selain untuk urusan rasmi, kota yang sinonim dengan pusat pentadbiran kerajaan ini menawarkan landskap serta seni bina yang menarik untuk kunjungan pelancong luar mahupun warga tempatan.
Dalam masa sama, ia juga merupakan lokasi yang sesuai untuk bersantai bersama keluarga pada cuti hujung minggu dan cuti sekolah. Terdapat pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan di sini meliputi semua peringkat umur. Mari kita lihat apa yang menarik di sekitar Putrajaya.
Salah satu aktiviti paling menarik untuk menikmati keindahan pemandangan dan keunikan mercu tanda di Putrajaya adalah dengan menaiki bot di Tasik Putrajaya. Terdapat dua jenis bot yang boleh dipilih iaitu Belimbing Cruise selama 45 minit dan Perahu Dondang Sayang (25 minit).
Bagi anda yang ingin mencari kelainan pula, terdapat pakej santapan istimewa yang boleh ditempah dalam Dining Cruise Boat yang berhawa dingin atau Love Boat ala gondola, tentu memberi pengalaman yang lain daripada lain. Maklumat lanjut boleh layari di Facebook @Cruise Tasik Putrajaya atau hubungi talian 03-8888 5539.
Seterusnya, di Taman Ekuestrian Putrajaya (TEP) pula, anak-anak pasti teruja untuk melihat kuda secara dekat dan cuba menunggangnya. Buat mereka yang ingin belajar menunggang kuda, anda boleh mendaftar kelas-kelas yang diajar oleh tenaga pengajar profesional.
Pada hari-hari tertentu, pengunjung juga boleh menonton perlawanan polo berkuda antara kelab terkemuka dalam dan luar negara secara langsung.
Apabila sudah penat berkuda, singgahlah ke Hayat Polo Cafe & Bistro yang terdapat di dalam Taman Ekuestrian ini. Pelbagai menu istimewa dihidangkan setiap hari. Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari Facebook Taman Ekuestrian Putrajaya atau hubungi talian 03-8888 6080. – WILAYAHKU