Berita

Jom lawati dua spot wajib singgah di sekitar Kuala Lumpur

- Diterbit 27 Oktober 2023 12:35 AM MYT

Oleh HAZIRAH HALIM

PENGEMBARAAN Program Pasport 50WP anjuran Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) memberi peluang kepada para peserta menerokai dan menjelajah keunikan serta kepelbagaian 50 lokasi menarik yang terdapat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Jom kita lihat keunikan dua lokasi checkpoint menarik dan wajib dilawati tersebut di sekitar Kuala Lumpur.

TAMAN TUGU NEGARA

Taman Tugu Negara yang terletak bersebelahan Bangunan Parlimen dan Taman Botani, Kuala Lumpur merupakan taman rekreasi serta lokasi aktiviti mendaki (hiking) buat warga kota terutama pada setiap hujung minggu.

Dibuka pada tahun 2019, ia merupakan salah satu projek inisiatif tanggungjawab sosial korporat bukan berasaskan keuntungan yang diterajui oleh Khazanah Nasional Berhad bagi memelihara hutan sekunder daripada diceroboh pihak lain untuk tujuan komersial.

Lokasi ini menempatkan sebanyak 1,000 jenis pokok sedia ada termasuk spesies tempatan seperti Jelutong, Tembusu, Pulai dan Gaharu yang mana kebanyakannya berukuran lebih daripada satu meter dan berusia 100 tahun.

Peserta bolehlah bersantai dan mengambil gambar untuk dimuat naik ke dalam kod QR yang disediakan dan setelah selesai meneroka taman tersebut, singgahlah sebentar di Tugu View Cafe untuk menjamu selera. Dibuka setiap hari seawal pukul 7 pagi hingga 6.30 petang.

PINTASAN SALOMA

Pintasan Saloma merupakan jambatan pejalan kaki ikonik yang menjadi isyarat penghubung antara Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dan Pembangunan Kampong Bharu. Ia adalah jambatan pejalan kaki berbumbung yang terpanjang tanpa tiang di Malaysia dengan jarak 69 meter.

Para peserta dapat melihat struktur bumbung yang berbentuk berlian di mana ia dilengkapi 4,566 keping panel dengan 4,098 unit lampu solar diod pemancar cahaya (LED) bagi memberi impak terhadap seni pencahayaan mengikut tema festival untuk menerangi jambatan ini terutama pada waktu malam.

Lebih menarik, terdapat banyak Insta-Worthy Spot di sepanjang laluan pejalan kaki ini.

Jadi, jangan lepaskan peluang anda untuk berkunjung ke lokasi checkpoint ke-14 iaitu Pintasan Saloma dan bergambar bagi melengkapkan aktiviti jelajah anda. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas