WILAYAH Persekutuan Putrajaya sekali lagi menjadi tuan rumah bagi penganjuran Sambutan Hari Kebangsaan 2024 dan menyasarkan kira-kira 200,000 pengunjung bagi bersama-sama meraikan hari tersebut.
Sehubungan dengan itu, pihak Perbadanan Putrajaya (PPj) komited dalam merancang dan melaksanakan kerja-kerja kawalan dan pengurusan kebersihan acara melibatkan keseluruhan kawasan lintasan perbarisan di Persiaran Perdana, Presint 1 sehingga Presint 4 bermula dari 26 Ogos hingga 3 September 2024.
Menurut Presiden PPj, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud, pada edisi kali ini, pihaknya bersama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) melalui syarikat konsesi, Alam Flora Sdn Bhd (AFSB) telah menyediakan 220 tenaga kerja pembersihan, 650 unit tong sampah mudah alih 120L, 100 unit tong sampah mudah alih bersaiz 660L serta 11 unit tong jenis Roll-On,Roll-Off (RORO) bagi memastikan keperluan tong sampah dan pekerja pembersihan mencukupi.
“AFSB juga menyediakan empat unit lori kompaktor dan jentera-jentera pembersihan yang lain seperti lori jetter yang akan digunakan untuk kerja-kerja flushing.
“Bagi memastikan pengurusan sampah lebih lancar dan efisien, PPj juga menganjurkan Program Jom Bawa Balik Sampah melibatkan agensi-agensi seperti SWCorp, AFSB dan Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia yang akan bersama-sama melakukan aktiviti plogging selepas tamat perarakan.
“PPj juga memastikan amalan kitar semula (3R) juga dilaksanakan pada hari tersebut serta menyediakan 10 set tong kitar semula di sekitar kawasan utama penganjuran,” ujarnya.
Beliau berkata dalam merealisasikan persekitaran Putrajaya yang bersih, indah dan kondusif, program ini juga bakal menjadi medium pelaksanaan kempen oleh PPj bagi menggalakkan pengunjung untuk lebih bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan di Putrajaya.
“la juga berupaya menjadi pemangkin bagi perubahan sikap dan praktik masyarakat di dalam penjagaan kebersihan yang terbaik sekali gus memupuk menjadi rakyat Malaysia yang mementingkan kebersihan.
“Adalah diharapkan semua inisiatif ini akan memberikan impak positif dalam memastikan persekitaran Putrajaya terus bersih dan berdaya mampan. Kelancaran dan kejayaan program-program ini juga semestinya memerlukan komitmen dan sokongan semua pihak khususnya pengunjung yang datang ke Putrajaya,” ujarnya. – WILAYAHKU