Berita

JKR lancar aplikasi ‘Labuan Roadster’ tingkat pemantauan keadaan jalan

- Diterbit 31 Januari 2024 1:30 PM MYT

JABATAN Kerja Raya (JKR) Labuan melancarkan aplikasi mudah alih “Labuan Roadster” yang direka untuk memantau dan melaporkan keadaan Jalan Persekutuan di pulau bebas cukai ini.

Pengarah JKR Labuan, Mohd Faizul Mohd Ali Hanapiah berkata aplikasi yang dibangunkan oleh pasukan Bahagian Jalan JKR Labuan, merupakan inisiatif perintis yang bertujuan meningkatkan pengurusan aset Jalan Persekutuan dan menambah baik kualiti keseluruhan kerja-kerja jabatan itu.

Beliau berkata aplikasi berkenaan akan membolehkan semua petugas JKR Labuan menyumbangkan pandangan mengenai keadaan jalan raya semasa di bawah bidang kuasa jabatan itu.

“Labuan Roadster direka khusus untuk petugas JKR Labuan, membolehkan mereka berkongsi maklumat dengan segera tentang keadaan jalan yang dilalui setiap hari atau lokasi lain, sekali gus dapat memudahkan tindakan pantas dibuat,” katanya kepada Bernama hari ini.

Mohd Faizul berkata Labuan Roadster menampilkan tiga menu utama iaitu ComplainNotification of Damage (NoD) dan Request for Inspection (RFI), platform komprehensif kepada petugas untuk menyampaikan sesuatu isu berkaitan dengan cekap.

Beliau berkata aplikasi itu juga telah dimaklumkan kepada Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan ketika merasmikan Dewan Sri Labuan semasa lawatan kerja beliau ke Labuan pada 22 Jan lepas.

Mohd Faizul berkata aplikasi berkenaan akan meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada penduduk Labuan.

“Aplikasi ini selaras dengan trend teknologi terkini, terutamanya dalam teknologi hijau (tanpa kertas), meletakkan pengurusan aset Jalan Persekutuan pada standard global, memastikan keberkesanan dan operasi yang sistematik,” katanya.

Labuan Roadster bukan sahaja memodenkan pemantauan keadaan jalan, tetapi juga satu langkah ke arah amalan mesra alam sekitar dan cekap, menjadikannya satu pencapaian dalam komitmen JKR Labuan terhadap inovasi dan kecemerlangan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas