Berita

JKR, IKRAM sahkan Kondominium Seri Duta 1 tidak selamat

DATUK Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah turun padang meninjau kawasan tanah runtuh di Jalan Sri Duta 1, baru-baru ini.
- Diterbit 27 Disember 2021 4:35 AM MYT

JABATAN Kerja Raya (JKR) dan Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) mengesahkan bahawa struktur tanah di Kondominium Seri Duta 1 tidak selamat sekali gus mengarahkan penduduk berpindah atas faktor keselamatan berkuat kuasa Ahad.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan memaklumkan pihak pemaju telah melantik perunding bagi menganalisa keselamatan bangunan dan cerun di kawasan pemaju.

Sehubungan dengan itu, pihak JKR dan IKRAM telah melakukan lawatan tapak di kawasan tersebut dan mengenal pasti beberapa petanda menunjukkan Kondominium Seri Duta 1 kini tidak selamat untuk didiami.

“Satu maklum balas kestabilan daripada pihak perunding, JKR dan IKRAM telah dikeluarkan dan mendapati struktur bangunan tersebut bermasalah dan berisiko terjadinya runtuhan tanah yang lebih kritikal,” kata DBKL.

Menurut DBKL, terdapat tanda-tanda berlakunya pergerakan tanah yang memberi kesan kepada struktur bangunan.

“Antara tanda berlakunya pergerakan tanah adalah column dengan dinding yang telah terpisah, surface tension crack di beberapa permukaan tanah dan keretakan di bawah lantai.

“Tanda-tanda tersebut menunjukkan keadaan di kawasan tersebut adalah tidak selamat dan akan memberikan risiko kepada penghuni Kondominium Seri Duta 1 dan penghuni yang berada di tanah milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP),” jelas DBKL dalam satu kenyataan pada Ahad.

Tambahnya, pihak pemaju telah mengosongkan unit-unit penduduk yang terkesan sebagai tindakan awalan bagi menghalang hakisan yang berterusan dan boleh menyebabkan pergerakan kepada pile cap. 

“Kerja-kerja pemulihan cerun dan bangunan di dalam kawasan pemaju akan dilakukan dengan kadar segera.

“Pada masa sama, IKRAM akan memantau pergerakan tanah di kawasan itu secara lebih dekat,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas