Berita

JKR diarah beri bantuan sokongan teknologi dalam operasi SAR tanah jerlus

Foto: Jabatan Bomda dan Penyelamat Malaysia
- Diterbit 27 Ogos 2024 1:02 PM MYT

JABATAN Kerja Raya (JKR) telah diarah memberikan bantuan sokongan teknologi bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah jerlus di Jalan Masjid India di sini.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata walaupun kejadian tanah jerlus berlaku di kawasan seliaan Jabatan Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), namun kementerian sentiasa akan memberikan kerjasama memandangkan ia adalah kejadian bencana.

“Saya telah arahkan JKR supaya memberikan bantuan dari segi teknologi untuk menyokong seluruh pasukan (SAR) kerana kita mempunyai kepakaran,” katanya ringkas dalam audio yang dikongsikan kepada media hari ini.

Pada Jumaat lepas, wanita warga India dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, hilang selepas terjatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter susulan insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India.

Mangsa yang berada di negara ini bersama keluarga untuk melancong, dilaporkan sedang berjalan di kawasan berkenaan untuk ke sebuah kuil berhampiran bagi bersarapan sebelum kejadian itu berlaku. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas