JABATAN Komunikasi Komuniti (JKOM) akan bertindak lebih tegas dan proaktif dalam menangani lambakan fitnah dan berita palsu yang boleh merosakkan imej Kerajaan MADANI.
Demikian ditegaskan Ketua Pengarah JKOM, Datuk Ismail Yusop yang melihat dua perkara itu sebagai cabaran terbesar yang dihadapi kerajaan ketika ini sehingga menidakkan segala usaha murni yang telah dan sedang dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat.
“Berita palsu tidak boleh dijadikan norma dalam masyarakat kita. Ia bukan sahaja menjejaskan keharmonian, malah boleh melumpuhkan usaha kerajaan untuk memacu negara ke arah kemakmuran bersama,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Beliau berkata, JKOM akan mengambil langkah konstruktif untuk memastikan fakta yang benar sampai kepada rakyat, sekali gus memperkukuh keyakinan terhadap Kerajaan MADANI.
Katanya, Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dan sedang melakukan perkara yang tepat dalam aspek tadbir urus, ekonomi rakyat dan keadilan sosial.
Jelas beliau, banyak inisiatif yang telah diperkenalkan memberi manfaat langsung kepada rakyat, dan ini perlu diangkat serta disampaikan secara lebih jelas.
“Justeru, rakyat mesti dilihat bersama-sama dengan kerajaan untuk memastikan usaha yang dilakukan ini dapat berjalan dengan lancar.
“Sebagai agensi sosiopolitik dalam komunikasi kerajaan, JKOM bertekad untuk menjadi jambatan yang menghubungkan kerajaan dan rakyat. Bersama-sama, kita bina masa depan yang lebih cerah, makmur dan harmoni untuk semua,” katanya.
Walau bagaimanapun tambahnya, dalam usaha menyampaikan agenda Kerajaan MADANI, JKOM tidak boleh bergerak sendirian.
Sebaliknya tegas beliau, kerjasama erat dengan agensi-agensi kerajaan yang lain amat diperlukan untuk memastikan rakyat memahami dan merasai impak setiap inisiatif yang dilaksanakan. – WILAYAHKU