SEBANYAK 21 notis dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Labuan menerusi Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Undang-Undang Kesihatan Awam (OSKA) atas kesalahan dibawah Akta 852.
Operasi itu turut membabitkan kerjsama Jabatan Pelesenan, Jabatan Penguat Kuasa dan Unit Kesihatan Perbadanan Labuan serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Jabatan Kesihatan Negeri Labuan (JKNL) dalam satu kenyataan memaklumkan, sebanyak 75 buah premis perniagaan diperiksa dengan nilaian notis dikeluarkan sebanyak RM5,250 di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
Katanya, pihaknya memberi penekanan terhadap Akta 852 secara penguatkuasaan pendidikan ‘Tanda Amaran Larangan Merokok’ di semua 28 tempat dilarang merokok termasuk di premis yang dikategorikan pusat hiburan yang akan berkuatkuasa sepenuhnya pada 1 April 2025.
“Tidak mempamerkan suatu tanda amaran larangan merokok dalam bentuk sebagaimana yang ditetapkan adalah menjadi satu kesalahan dibawah Seksyen 18.(1)(a), Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 dan boleh dikompaun sebanyak RM250,”jelas kenyataan tersebut.
Dalam perkembangan sama, selain penguatkuasaan Akta 852, pihaknya turut melaksanakan pematuhan Akta Makanan 1983 (Akta 281), Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 (Akta 154) dan Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Katanya, sebanyak 124 premis telah diperiksa dan sejumlah RM5,500 nilai notis telah dikeluarkan.
“JKNL sentiasa berusaha meningkatkan kualiti perkhidmatan demi kesejahteraan penduduk dan termasuk tindakan penguatkuasaan undang-undang kesihatan awam OSKA,”katanya. – WILAYAHKU.