Berita

JKM sifatkan kejadian pukul OKU sangat tidak berperikemanusiaan

- Diterbit 21 Januari 2025 6:14 PM MYT

JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) kesal dengan kejadian seorang individu Orang Kurang Upaya (OKU) dipukul beramai-ramai di Pasar Tani Padang Astaka pada 17 Januari lalu.

Menurut Unit Perhubungan Awam JKM, perkara tersebut adalah sangat tidak berperikemanusiaan dan berada di luar batas tatasusila kehidupan bermasyarakat yang diamalkan di negara ini.

“Melalui semakan, penama Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47, atau lebih mesra disapa Paijang merupakan Pemegang Kad OKU Kategori Mental yang telah mendapat kelulusan Kad OKU pada 19 Mac 2023.

“Mangsa kini dilaporkan dalam keadaan stabil dan sedang dirawat di Klinik Pakar Psikiatri Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

“Kami berterima kasih kepada pihak Polis Diraja Malaysia atas tindakan pantas yang telah diambil serta berharap siasatan dapat diselesaikan segera dan pesalah dikenakan hukuman,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam masa sama, JKM melalui Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Kemaman telah memberi bantuan Intervensi Krisis dan Sokongan Psikologi (IKSP) kepada keluarga mangsa melalui sesi kaunseling bagi membantu menstabilkan emosi keluarga yang terjejas akibat kejadian ini.

“Kami sekali lagi menzahirkan rasa simpati kepada mangsa dan akan terus memberikan sokongan kepada keluarga mangsa.

“JKM juga ingin mengucapkan tahniah kepada rakyat Malaysia yang bersolidariti menzahirkan rasa simpati kepada OKU yang teraniaya ini.

“Sifat ihsan sebegini harus ditanam dalam diri setiap individu supaya tiada yang akan melakukan tindakan diluar batas kemanusiaan kepada sesiapapun di masa hadapan,” katanya.

Terdahulu, insiden menyayat hati membabitkan seorang lelaki OKU mental yang dipukul secara kejam telah mencetuskan sensasi di seluruh negara.

Kejadian ini menjadi topik hangat selepas rakaman video berdurasi 2 minit yang memaparkan insiden tersebut tular di media sosial, mencuri perhatian ramai sejak awal pagi Jumaat. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas