SEBANYAK 19,044 Jalur Gemilang dipasang di jalan utama dan bangunan kemudahan awam di bawah seliaan Perbadanan Putrajaya (PPj) sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 pada 31 Ogos ini.
Menurut Presiden PPj, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud, inisiatif tersebut selaras dengan pemilihan pusat pentadbiran kerajaan itu sebagai lokasi sambutan.
“Sebanyak 2,000 Jalur Gemilang turut diedarkan kepada warga PPj bagi menyuntik semangat patriotik.
“PPj turut menyerahkan Jalur Gemilang kepada Pejabat Perdana Menteri dan komuniti Putrajaya untuk dikibarkan sepanjang Bulan Kemerdekaan ini,” ujar beliau.
Turut hadir Naib Presiden Perkhidmatan Korporat PPj, Shamsul Joehari Zainal Mokhtar dan Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan & Pembangunan) Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Datuk Ramlee Yatim.
Fadlun berkata pihaknya turut memasang Jalur Gemilang pada kenderaan rasmi PPj.
“Bagi menyemarakkan Sambutan Hari Kebangsaan kali ini, PPj turut menganjurkan Floria Diraja Putrajaya 2024 yang juga merupakan acara ikonik dan bertaraf dunia bermula 22 Ogos hingga 1 September ini di Monumen Alaf Baru, Presint 2.
“Festival bertemakan Raikan Bersama! itu mengangkat bunga Petunia yang terkenal dalam kalangan pencinta tanaman hiasan sebagai bunga tema,” ujarnya. – WILAYAHKU