PENGALAMAN berada dalam kem tentera selama 45 hari merupakan kenangan yang begitu bermakna dan tidak mungkin dapat dilupakan oleh tiga orang Wira Muda, Mugilan S. Anbalagan, 21; Wong Wei Pin, 20, dan Nur Aisyah Abdul Rahim, 20.

Mereka merupakan insan-insan terpilih daripada jutaan rakyat Malaysia yang berani menyahut seruan ibu pertiwi untuk menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 demi nusa dan bangsa.
Ternyata ketiga-tiganya berjiwa kental untuk hadir secara sukarela demi menjadi insan yang berdisiplin serta berjiwa patriotik yang sememangnya perlu dipupuk dalam diri generasi anak muda pada masa kini.
Berkongsi kepada Wilayahku, Mugilan berkata PLKN 3.0 telah berjaya menyatukan jiwanya dengan rakan-rakan yang terdiri daripada pelbagai kaum, latar belakang dan agama.
“Kami seperti adik-beradik. Tidak kira siapapun, semuanya bersatu hati. Setiap apa yang kami lalui di sini penuh dengan pengajaran yang amat bermakna bagi saya. Di sini juga saya belajar erti bantu-membantu antara satu sama lain.
“Misalnya di padang kawad, apa yang paling utama adalah menjaga disiplin selain mental dan emosi. Jika salah seorang buat silap, semua akan terkesan, jadi ketika perbarisan, kami akan tolong-menolong kerana kekuatan individu sahaja tidak akan berjaya jika tiada semangat kerjasama.
“Sejujurnya di sini saya belajar cara untuk menerima kelemahan orang lain serta cuba untuk melengkapinya, dalam erti kata lain, saya tidak akan sesekali menyombong diri kerana sedar setiap orang ada kekurangan dan kelebihan masing-masing,” katanya.
Lebih sebulan mengikuti program PLKN, Wira Muda yang berasal dari Kajang ini berkata 45 hari merupakan waktu yang singkat dan terasa seperti berlalu terlalu cepat.
“Saya mengikuti program ini secara sukerela, sudah tentu saya enjoy dengan modul latihan yang digunakan. Bagi saya, latihan asas ketenteraan dan kenegaraan yang digunakan terbaik dan mampu mengubah diri anak muda apabila tamat latihan.
“Diharapkan untuk siri akan datang, mereka yang terpilih untuk mengikuti program ini menggunakan peluang untuk mencari sebanyak mungkin pengalaman yang tidak mungkin akan diperoleh di tempat lain,” katanya yang mengakui gaya hidup sihat yang dilalui lebih sebulan membantunya mendapatkan berat badan ideal.

Bagi Wei Pin pula, minatnya dalam bidang ketenteraan dan cita-cita untuk menjadi komando membawanya untuk menyertai PLKN bagi merasai sendiri pengalaman tersebut.
“Apa yang membuatkan saya teruja adalah ketika Latihan Menembak Senjata Ringan. Ia memberi peluang kepada saya untuk merasai perkara baharu iaitu cara menembak dengan tepat selain dari segi teknik dan pengurusan senjata.
“Di sini juga kami berpeluang menggilap potensi diri dalam kehidupan supaya tidak gentar untuk melalui masa depan yang penuh dengan cabaran. Itu yang paling utama bagi saya.
“Pendedahan terhadap isu-isu semasa diberi perhatian selain kami turut dibimbing untuk mengenali pilihan kerjaya yang tepat meliputi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selain badan beruniform serta sukarela,” katanya yang berasal dari Kuala Selangor.
Wei Pin yang merupakan pelajar jurusan undang-undang di sebuah kolej swasta berkata jika berkesempatan, sudah pastinya dia tidak akan menolak untuk menyertai PLKN sekali lagi pada masa akan datang.
“Banyak perkara yang saya pelajari di sini. Semangat patriotisme adalah hal utama yang perlu diterapkan kerana dalam kehidupan yang serba mencabar saat ini, kita perlu membentuk bangsa yang bersatu padu agar negara Malaysia terus aman dan makmur,” jelasnya.

Berperwatakan lemah lembut seperti gadis lain namun di sebaliknya siapa sangka Nur Aisyah menyimpan hasrat untuk menyertai Rejimen Askar Wataniah kerana minat yang ada dalam dirinya sejak kecil untuk berkhidmat dalam badan beruniform.
“Apabila terlihat iklan PLKN 3.0 di media sosial, saya tidak fikir panjang dan terus memberitahu ibu. Alhamdulillah ibu merestui untuk berada di sini asalkan pandai membawa diri.
“Peluang yang terbentang di depan mata saya gunakan bagi mencari sebanyak mungkin pengalaman untuk diaplikasikan dalam kehidupan di masa akan datang. Bagi saya, amatlah rugi jika ia tidak dimanfaatkan sebaik-baiknya.
“Berada di sini membawa saya mengenali lebih ramai lagi rakan-rakan dan berkongsi minat yang sama. Apa yang pasti saya menjadi lebih berdisiplin serta menukar sifat malas yang ada dalam diri kepada rajin. Itu yang saya dapat rasakan perubahan paling ketara saat ini,” katanya yang berasal dari Terengganu.
Berkongsi lanjut Nur Aisyah berkata dia begitu teruja ketika melalui aktiviti merentas halangan dan masuk hutan kerana ia sukar diperoleh di luar lebih-lebih lagi bagi mereka yang tinggal serta dibesarkan di bandar.
“Saya gembira melakukan aktiviti tersebut kerana mengajar kita bagaimana cara untuk survive dalam hutan sekali gus ia memberi pengajaran agar kita tidak mudah putus asa apabila berdepan dengan situasi yang sukar.
“Paling tidak dapat dilupakan, keluar daripada hutan satu badan penuh lumpur. Kami ketawa melihat muka masing-masing. Saya sangat merindui rakan-rakan kerana kami sudah seperti keluarga biarpun hanya dalam tempoh yang singkat,” katanya yang teruja menjadi kelompok alumni pertama Angkatan Khidmat Negara. – WILAYAHKU