JABATAN Imgresen Malaysia (JIM) telah menahan 10 lelaki warga Bangladesh yang menyamar sebagai doktor di sembilan lokasi di sekitar Kuala Lumpur.
Dalam Operasi Khas yang diadakan pagi semalam, sepasukan pegawai pelbagAi pangkat telah menyerbu enam lokasi di Jalan Tun Tan Siew Sin, dua lokasi di Leboh Pudu dan satu di Jalan Silang.
Operasi itu turut disertai Timbalan Ketua Pengarah Operasi Imigresen, Jafri Embok Taha; Pengarah Bahagian Perisikan Dan Operasi Khas, Mohamad Anas Mohamad Dzarib; Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM, Mohd Zawawi Abdullah dan Timbalan Pengarah, Cawangan Perisikan dan Operasi, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM, Mohd Azaruddin Jais.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban, berkata operasi bersama Kementerian Kesihatan (KKM) itu dilakukan berdasarkan aduan awam dan maklumat risikan yang dijalankan selama dua minggu.
“Pasukan operasi telah diatur gerak ke lokasi premis perniagaan dan berjaya menahan sepuluh orang lelaki warganegara Bangladesh berusia di antara 31 hingga 50 tahun.
“Hasil semakan awal mendapati seorang yang ditahan memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) Sektor Perkhidmatan, enam orang memiliki PLKS Sektor Pembinaan, dua orang telah tinggal lebih masa manakala seorang lagi tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.
“Pasukan operasi JIM turut merampas peralatan doktor palsu, ubat-ubatan dan wang tunai RM800 dipercayai adalah hasil rawatan dan jualan ubat,” katanya.
Dalam operasi berkenaan, KKM juga merampas sebanyak 502 jenis ubat tidak berdaftar dan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM265,192.00.
Warganegara asing ini juga disyaki melakukan kesalahan
di bawah Sek.13(a) Akta Racun 1952, Per. 3(1) Peraturan-Peraturan Racun (Bahan-bahan Psikotropik) 1989, dan Per.7(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.’
“Modus operandi yang digunakan adalah menawarkan perkhidmatan rawatan pesakit melalui doktor warganegara Bangladesh yang tidak bertauliah dan mensasarkan warga Bangladesh sahaja.
“Ubat-ubatan yang dijual tidak berdaftar dan tanpa kelulusan KKM dibawa masuk warga Bangladesh yang datang sebagai pelancong dengan bayaran sebanyak RM200 hingga RM500 setiap seorang.
“Kegiatan ini berselindung di sebalik kedai makan atau kedai runcit bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya.
Bayaran rawatan dan penjualan ubat-ubatan yang dikenakan adalah sebanyak RM50 hingga RM200 bagi setiap pelanggan warganegara Bangladesh dan dipercayai telah beroperasi selama setahun.
Kesemua warganegara asing ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, dua lelaki warganegara Bangladesh dan enam perempuan warganegara Malaysia telah diberi Notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan. – WILAYAHKU