Berita

JIM Labuan tahan 13 PATI, tiada dokumen sah

- Diterbit 1 Ogos 2024 11:42 AM MYT

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) Labuan berjaya menahan seramai 13 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dalam dua operasi berasingan di tujuh premis di sini, baru-baru ini.

Menurut Pengarah Imigresen Labuan, Raymond Entalai, kesemua PATI yang ditahan terdiri daripada 12 wanita Filipina dan seorang lelaki Pakistan.

Katanya, bahawa penahanan ini membuktikan bahawa masih terdapat pendatang asing tanpa dokumen perjalanan sah di Labuan.

“Penahanan mereka ini menunjukkan bahawa Labuan masih terdapat warga asing yang tidak dilengkapi dokumen perjalanan sah.

“Operasi berkenaan dilaksanakan di tujuh premis sekitar pulau bebas cukai ini,”katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Raymond berkata, kesemua PATI yang ditahan kini sedang disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan 39b Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

“Kesemua PATI yang ditahan ditempatkan di Balai Polis Labuan dan Depot JIM Labuan untuk siasatan lanjut.

Dalam pada itu, Raymond turut menasihatkan para majikan agar mematuhi undang-undang dengan hanya mengambil warganegara asing yang mempunyai dokumen sah untuk bekerja.

“Jabatan ini akan sentiasa mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari masa ke masa bagi membanteras lambakan pendatang asing yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

Tegasnya, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana warganegara asing yang masuk dan tinggal di negara ini tanpa pas sah serta mereka yang menyalahgunakan pas dan kemudahan yang diberikan.

“Tindakan pendakwaan dibawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) juga akan dikenakan terhadap majikan serta pemilik premis yang menggaji warganegara asing tanpa dokumen perjalanan dan pas yang sah,”katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas