Berita

“Jika tiada willing buyer, maka tidak ada willing seller” – Dr Zaliha

- Diterbit 16 Disember 2024 12:40 PM MYT

ISU jurugambar amatur di sekitar kawasan Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC) hanya akan berlaku sekiranya terdapat penawaran dan pembelian.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata beliau telah dimaklumkan mengenai isu jurugambar yang memaksa untuk mengambil perkhidmatan mereka meskipun pemilik premis tidak membenarkan aktiviti tersebut berlaku.

“Saya dimaklumkan sebelum ni, pihak KLCC sebagai pemilik premis, tidak benarkan mereka ini untuk berada di kawasan premis KLCC.

“Tapi berdasarkan gambar-gambar yang dihantar pada saya, dan saya tengok sendiri semalam, ada daripada mereka yang berada di seberang jalan, mungkin menimbulkan ketidaksenangan dalam kalangan pengunjung,”katanya dalam hantaran di facebooknya hari ini.

Beliau sebelum itu berkunjung ke Kompleks beli belas Suria KLCC untuk meninjau keadaan di sekitar ibu kota pada waktu malam berkesempatan untuk melihat musical fountain di Lake Symphony yang sememangnya menjadi tumpuan dalam kalangan warga kota sendiri, pelancong domestik mahupun antarabangsa.

Zaliha yang menyedari rungutan tersebut berkata Ketua Polis Kuala Lumpur telah memaklumkan kira-kira dua orang daripada jurugambar amatur tersebut sudah pun didakwa di mahkamah.

“Dua orang yang didakwa ini diambil tindakan berdasarkan laporan dari pihak Polis Bantuan KLCC dan mereka didakwa kerana menceroboh dalam kawasan KLCC.

“Selain itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi juga telah menjalankan operasi di sekitar KLCC pada bulan lalu, dan hasil operasi tersebut lima lelaki ditahan setelah pemeriksaan dokumentasi dilakukan dan ini adalah antara inisiatif #KLStrikeForce juga,”katanya.

Zaliha turut menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil perkhidmatan tersebut bagi mengelakkan masalah seperti paksaan dan sebagainya.

“Kerana tiada ‘willing buyer’, maka tak akan ada ‘willing seller’. Keduanya, sekiranya anda nampak perkhidmatan yang menimbulkan ketidaksenangan ini, segera laporkan di balai polis berhampiran untuk tindakan pihak penguatkuasaan.

“Dengan cara ini, anda semua turut akan membantu pihak penguatkuasaan. Insya-Allah, isu ini akan selesai jika semua pihak memainkan peranan masing-masing, termasuk orang awam,”katanya.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas