YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan rasa dukacita dengan kes-kes dera dan buli yang mendatangkan kecederaan dan kematian berlaku di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Untuk itu selaku Canselor UPNM, Seri Paduka bertitah agar semua pihak mesti berusaha menghentikan budaya tidak sihat itu dan memulihkan nama baik universiti.
Sultan Ibrahim turut bertitah untuk tidak mahu dikaitkan dengan UPNM lagi jika kes-kes dera terus berlaku.
“Jika penderaan terus berlaku, saya tidak mahu nama saya dikaitkan dengan universiti ini lagi.
“Panglima dan Komandan juga mesti bertanggungjawab dan meletak jawatan kerana gagal menjalankan amanah,” titah Seri Paduka.
Titah ucapan Seri Paduka dimuatkan dalam hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Seri Paduka bertitah demikian pada Istiadat Konvokesyen Ke-14 UPNM yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
Pada istiadat itu, Seri Paduka berkenan menerima watikah pemasyhuran selaku Canselor UPNM.
Watikah itu disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir.
Seksyen 10 (2) Perlembagaan UPNM memperuntukkan bahawa Canselor ialah Yang di-Pertuan Agong.
Berdasarkan kepada peruntukan Seksyen 10 (1) Perlembagaan berkenaan, Seri Paduka hendaklah mempengerusikan konvokesyen UPNM.
Turut berangkat Tengku Mahkota Pahang yang juga Pro-Canselor UPNM, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Sultan Ibrahim bertitah, bagi melahirkan seorang pegawai tentera, memang memerlukan latihan fizikal dan mental yang keras.
Tetapi tegas Seri Paduka, tidaklah sampai mendera sehingga menyebabkan kecederaan dan kematian.
“Saya percaya ibu bapa menghantar anak mereka ke sini untuk belajar menjadi seorang pegawai tentera, bukan untuk didera,” titah Seri Paduka.
Yang di-Pertuan Agong bertitah, lebih mendukacitakan apabila kejadian penderaan terus berlaku, seperti tiada usaha yang serius diambil oleh mana-mana pihak walaupun kejadian sebelumnya telah dibawa ke mahkamah.
“Falsafah utama UPNM ialah untuk menjadi sebuah universiti utama di rantau ini dalam bidang pertahanan, ketenteraan dan keselamatan. Disiplin dan budaya tentera adalah menjadi falsafah utama universiti ini,” titah Seri Paduka. – WILAYAHKU