PENGGIAT Senireka Barang Kemas (PERSEKA) menganjurkan Program Air Tangan Emas yang juga dikenali sebagai Jewels Of Malaysia (JOM).
JOM dalam kenyataannya berkata program tersebut adalah acara pencarian bakat semula jadi dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
“Program ini turut menjemput bakat-bakat dari negara jiran seperti Indonesia, Singapura dan Brunei. Menariknya pencarian bakat ini turut mengalu-alukan penyertaan pelajar institut pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS) sekali gus bakal melahirkan bakat-bakat muda dengan idea yang segar golongan ini,” katanya.
Tambahnya, selain memberikan pengalaman yang cukup berharga kepada para peserta, hadiah yang ditawarkan kepada pemenang juga sangat lumayan.
“Johan bakal membawa pulang satu kilogram (kg) 999 jongkong emas dan kursus pendek dalam bidang seni reka di University of Arts London manakala tempat kedua pula memenangi 100 gram (g) 999 jongkong emas serta kursus pendek dalam bidang seni reka di University of Arts London.
“Pemenang ketiga pula bakal bawa pulang 100g 999 jongkong emas dan tempat keempat hingga 10 memenangi 10g 999 jongkong emas,” ujarnya.
Jelasnya JOM akan bermula pada Ogos di Johor Bharu mewakili Zon Selatan, September di Kuala Terengganu mewakili Zon Timur, Oktober di Pulau Pinang mewakili Zon Utara, November di Sabah dan Sarawak dan akan berakhir pada Disember di Kuala Lumpur.
“Pada peringkat akhir, JOM akan pilih pemenang dari setiap kategori dari lima negeri tersebut untuk dibawa ke Kuala Lumpur untuk diadili pada peringkat akhir.
“Di sinilah mereka akan menghabiskan masa yang diperuntukkan bagi menyiapkan tugasan yang telah diberikan,” katanya.