JENAZAH Allahyarham Muhammad Nidza Afham Mokhtar, yang ditemukan maut di Sungai Klang, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Puncak Alam, Selangor , pada Khamis.
Jenazah Allahyarham Nidza Afham, 23, dikebumikan kira-kira jam 6.45 petang tadi.
Terdahulu, jenazah dibawa ke Masjid Puncak Alam dan disembahyangkan kira-kira 1,000 jemaah, membabitkan ahli keluarga, saudara-mara dan sahabat handai.
Solat jenazah diimamkan sepupu Nidza Afham dan turut disertai bapa Allahyarham, Mokhtar Mahmood, 57.
Ibu Allahyarham, Irni Yusmira Istihat, 54, kelihatan masih bersedih, namun tenang sepanjang pengebumian berlangsung.
Semalam, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan mayat lelaki yang ditemukan di Sungai Klang, adalah Nidza Afham.
Mangsa dilaporkan hilang selepas keluar berjoging sebelum jasadnya ditemukan berhampiran Jalan Tepi Sungai, Solok Sungai, Taman Telok Pulai Indah, 7 malam semalam.
Hari ini, siasatan kes kematian Allahyarham tidak menemui sebarang unsur jenayah dan ia diklasifikasikan sebagai sebagai mati mengejut (SDR).
Hussein dilaporkan berkata, bedah siasat terhadap mayat lelaki itu tidak menemui kecederaan fizikal.
Punca kematian masih menunggu laporan siasatan makmal. – WILAYAHKU