Berita

Jenayah penipuan dalam talian: 86,266 orang jadi mangsa, RM2.76 bilion kerugian dicatatkan

- Diterbit 28 September 2024 5:51 PM MYT

SERAMAI 86,266 individu menjadi mangsa jenayah penipuan dalam talian sepanjang 2021 sehingga tahun lalu dengan jumlah kerugian keseluruhan melebihi RM2.76 bilion.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, bagi tahun ini sehingga bulan lalu, lebih RM900 juta kerugian dicatatkan melibatkan jenayah tersebut.

“Daripada 86,266 mangsa sepanjang tempoh tiga tahun itu, 5,533 mangsa atau 6.4 peratus adalah dalam kalangan individu berusia 61 tahun ke atas iaitu warga emas.

“Angka yang hampir sama dicatatkan pada tahun ini di mana daripada 21,535 kes direkodkan, 1,916 mangsa atau 8.9 peratus adalah warga emas,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Ramli berkata, walaupun bilanga mangsa dalam kalangan warga emas adalah kecil berbanding kelompok umur yang lain, namun nilai kerugian yang dialami mereka adalah tinggi sekali gus menjadikan mereka sasaran yang berkualiti.

Katanya, untuk tempoh tiga tahun itu, kerugian melibatkan warga emas adalah RM552.5 juta dan hal sama direkodkan bagi tahun ini di mana sehingga Ogos lalu, kerugian mencecah RM255.3 juta.

“Berpandukan dapatan ini adalah mustahak untuk informasi pencegahan jenayah komersial khususnya penipuan dalam talian disampaikan kepada golongan warga emas.

“Polis memohon semua pihak agar sentiasa berwaspada dan tidak melayan atau mempercayai sebarang panggilan mencurigakan. Penipuan dalam talian boleh dicegah seandainya mangsa mempunyai pengetahuan dan sentiasa berwaspada dengan kemungkinan berlakunya jenayah tersebut,” katanya.

Terbaharu katanya, JSJK telah menerima satu laporan polis semalam daripada seorang wanita berusia 72 tahun yang dipercaya sindiket penipuan phone scam dan mengalami kerugian RM670,994.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Mangsa mengalami kerugian wang tunai, barang kemas, dinar emas dan jongkong emas. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas