PELAKON, Rozita Che Wan, 51, menuntut permohonan maaf daripada beberapa individu yang juga pemilik akaun media sosial yang didakwa menghina penampilan anaknya, Aaishah Dhia Rana.
Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta berkata, dia juga sudah membuat laporan di Balai Polis Kota Damansara dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap beberapa individu terbabit dengan ditemani peguamnya, semalam.
“Saya akan ambil tindakan di bawah Akta Kanak-Kanak di mana ia satu kesalahan di bawah Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia dan boleh dikenakan tindakan saman fitnah juga. Surat saman terhadap mereka akan menyusul.
” Walaupun ada yang sudah menyahaktifkan akaun, ia tidak menjadi masalah kerana pihak polis dan SKMM akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada saya untuk mengesan pemilik akaun terbabit,” katanya kepada Wilayahku.
Menurut Che Ta, dia mempunyai alasan tersendiri mengambil tindakan tersebut. Antaranya adalah untuk mendidik masyarakat menggunakan media sosial secara berhemah.
“Tujuan saya mengambil tindakan ini adalah untuk mendidik pengguna media sosial agar sentiasa berhemah dan berfikir sebelum komen atau membuat sebarang hantaran (posting).
“Jangan ingat kalau guna private account atau akaun palsu pihak berkuasa tak dapat cari siapa pemilik sebenar akaun. Saya akan cari sampai ke lubang cacing!
“Sebagai pengguna media sosial, perlulah cerdik dan jangan sewenang-wenangnya nak komen sesuka hati.
“Bukan semua benda boleh jadi gurau terutamanya isu yang melibatkan kanak-kanak, maruah wanita atau agama. Kena buka akal (fikir) sebelum buat komen,” ujarnya.
Dalam masa yang sama, Che Ta juga mengaku sebagai ibu dia perlu melindungi anaknya daripada perkara-perkara negatif.
“Sebagai ibu saya kena lindung anak saya. Jenaka seksual terhadap kanak-kanak bukan perkara main-main. Saya menuntut permohonan maaf daripada mereka.
“Cuba anda bayangkan, betapa terlukanya hati anak saya apabila terbaca tulisan-tulisan komen yang bagi saya terlampau biadab.
“Saya tuntut balasan atas apa yang anak dan saya rasa,” tambahnya.
Menurut Che Ta lagi, pihak polis akan bekerjasama dengan peguamnya untuk mencari mereka yang memberi komen termasuk pengguna akaun TikTok yang memuat naik gambar dia bersama Aaisyah hingga mengundang lebih 2,200 komen di hantaran berkenaan.
Terdahulu, Che Ta meluahkan kemarahan kepada pemilik akaun TikTok yang didakwa menghina Aaisyah dengan menyamakannya seperti ‘pelacur’ hanya kerana penampilannya.
Individu terbabit juga mendakwa Aaisyah tidak layak untuk menerima hantaran tinggi dan terus-terusan melemparkan hinaan tanpa sebarang sebab. – WILAYAHKU