Berita

Jemaah Menteri putus tiada keperluan garis panduan masyarakat Islam dalam sambut perayaan bukan Islam

89 65 66 32 80 101 114 100 97 110 97 32 77 101 110 116 101 114 105 44 32 68 97 116 111 226 128 153 32 83 101 114 105 32 65 110 119 97 114 32 73 98 114 97 104 105 109 32 107 101 116 105 107 97 32 109 101 110 117 110 97 105 107 97 110 32 83 111 108 97 116 32 74 117 109 97 97 116 32 100 97 110 32 77 97 107 97 110 32 84 101 110 103 97 104 97 114 105 32 100 105 32 77 97 115 106 105 100 32 65 108 45 77 97 114 100 104 105 121 97 104 32 70 97 115 97 32 53 44 32 84 97 109 97 110 32 77 101 108 97 119 97 116 105 44 32
- Diterbit 7 Februari 2025 6:21 PM MYT

JEMAAH Menteri hari ini memutuskan tiada keperluan untuk mewujudkan garis panduan mengenai penglibatan orang Islam dalam sambutan perayaan agama lain, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata perkara itu dimuktamadkan dalam mesyuarat Kabinet pagi ini dan akan dipersembahkan kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah selaku Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).

“Saya berpendapat tidak perlu kerana orang Islam tahu garis panduan dia. Macam saya ke acara ini (tinjauan Thaipusam) saya bukan masuk upacara agama, Gobind Singh (Menteri Digital) dia sering ke masjid di kawasan dia tapi bukan upacara agama. Jadi kita biasa.

“Jadi jangan persulitkan, jangan menimbulkan kerisauan dalam masyarakat. Saya nak tegaskan keputusan muktamad Jemaah Menteri pagi tadi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau situasi semasa menjelang perayaan Thaipusam di kuil Batu Caves pada Selasa ini (11 Feb).

Sebelum ini media melaporkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang memuktamadkan satu garis panduan yang merangkumi penglibatan orang Islam dalam majlis sambutan perayaan dan upacara kematian orang bukan Islam serta kunjungan dan penganjuran majlis di rumah ibadat bukan Islam.

Perdana Menteri menjelaskan Malaysia sebagai sebuah negara yang agama rasminya Islam, kepentingan kaum dan agama lain di negara ini juga harus dijaga bagi memelihara keamanan.

“Apa yang perlu orang Islam jaga akidah dia…ada peraturannya. Ada yang tak boleh dilanggar tetapi untuk menyantuni masyarakat pelbagai kaum pelbagai agama itu tidak ada masalah selama ini.

“Kalau kita nak pastikan negeri ini aman kita kena jaga semua pihak, maknanya hari ini saya hadir ke sini ini upacara masyarakat India, saya bukan masuk kepada upacara agama Hindu,” katanya.

Sementara itu semasa tinjauan di kuil Batu Caves, Anwar berkata beliau mendapat taklimat daripada Pengerusi Kuil Batu Caves Tan Sri R. Nadarajah berhubung cadangan naik taraf Dewan Kuil Batu Caves serta usaha merancakkan lagi pelancongan di sekitar kuil berkenaan.

“Itu kita akan bantu dan diluluskan sedikit peruntukan tapi saya akan lihat segera supaya dewan ini dapat dijadikan dewan serba guna yang boleh digunakan oleh semua untuk penduduk India, tapi Tan Sri Nadarajah sebut dewan ini juga akan jadi dewan masyarakat jadi manfaat semua rakyat,” katanya.

Turut hadir Menteri Digital Gobind Singh Deo, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R. Ramanan dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas