SEMPENA pengembaraan Pasport 50WP yang dianjurkan oleh Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Hotel Pulse Grande menawarkan pakej penginapan istimewa kepada peserta program berkenaan dengan harga yang menarik.
Pengurus Besar Hotel Pulse Grande, Wan Mohd Azhar Wan Ahmad Shuky berkata para peserta yang memiliki pasport tersebut layak untuk mendapatkan pakej harga bilik serendah RM250 termasuk sarapan bagi dua orang.
“Bagi peserta yang menempah pakej ini untuk penginapan dua malam, boleh mendapatkan harga istimewa untuk malam seterusnya (hari ketiga) dengan harga serendah RM50.

“Malah, pakej pasport ini juga menawarkan peluang kepada 50 peserta terawal yang menginap di hotel ini untuk memenangi baucar Food and Beverage (F&B) bernilai RM50,” jelasnya ketika dihubungi Wilayahku.
Azhar berkata aktiviti pengembaraan Pasport 50WP adalah sebuah program unik dan wajar diteruskan pada masa akan datang kerana ia dilihat dapat menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan pelancongan domestik di Wilayah Persekutuan khususnya di lokasi-lokasi checkpoint yang disenaraikan.
“Ia juga adalah salah satu teknik pemasaran yang unggul untuk tujuan pemerkasaan sektor pelancongan dan galakan kepada pengunjung untuk mengetahui tentang keistimewaan dan keunikan Wilayah Persekutuan.
“Tanpa sedar, program ini juga sedikit sebanyak membantu mempromosikan dan mendedahkan kepada pelancong tempatan mahupun luar negara tentang perkhidmatan yang disediakan oleh Hotel Pulse Grande di samping kami juga turut menguar-uarkan ketersediaan tempat-tempat menarik di sekitar Putrajaya yang boleh dilawati pengunjung ketika berada di sini,” katanya.
Justeru itu, Azhar mengajak orang ramai khususnya warga Wilayah Persekutuan menyertai pengembaraan Pasport 50WP yang telah bermula 1 Oktober sehingga 25 Februari tahun hadapan sekali gus menikmati tawaran pakej penginapan yang disediakan oleh Hotel Pulse Grande.
Katanya, tempahan boleh dibuat melalui talian 03-8887 8888 atau WhatsApp ke 010-228 5353.
Terdahulu, Hotel Pulse Grande merupakan antara rakan strategik Pasport 50WP yang menawarkan penginapan pada harga berpatutan kepada peserta selain Hotel Premiera Kuala Lumpur dan AZ Hotel and Serviced Apartment, Labuan. – WILAYAHKU