SEBUAH Badan Bukan Kerajaan (NGO), JCI Bukit Bintang semalam melancarkan Hari Akauntabiliti dan Integriti (Hari A.I) untuk memerangi rasuah dalam organisasi komersial.
Presiden JCI Bukit Bintang, Eric Yeoh mengumumkan pelancaran inisiatif baharu mereka, Hari A.I yang merupakan projek untuk memerangi rasuah dan menggalakkan amalan beretika dalam perniagaan di Malaysia.
“Dengan rasuah menjadi kebimbangan utama rakyat Malaysia, mempengaruhi sehingga 51 peratus populasi dan meningkat dari tahun ke tahun, Hari A.I. hadir pada masa yang amat penting.
“Acara itu menampilkan pembentangan utama oleh Penolong Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Cheong Zhit Hou yang akan menekankan kepentingan akauntabiliti dan integriti dalam organisasi komersial,” katanya pada sidang medianya.
Menurut Eric, JCI Bukit Bintang bekerjasama dengan SPRM untuk inisiatif itu dalam menentang amalan rasuah.
“Matlamat utama Hari A.I adalah untuk meningkatkan kesedaran dan menggalakkan lebih banyak syarikat untuk memasukkan langkah-langkah anti-rasuah dalam dasar mereka.
“Rasuah menghakis kepercayaan dan menghalang pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Sementara itu Eric berkata, melalui Hari A.I akan melengkapkan perniagaan dengan pengetahuan dan alat yang mereka perlukan untuk memupuk budaya integriti dan ketelusan.
Beliau berkata, acara itu akan memberikan pandangan praktikal tentang pelaksanaan langkah-langkah anti-rasuah, manfaat amalan perniagaan beretika dan peranan kepemimpinan dalam mendorong integriti organisasi.
“JCI Bukit Bintang menjemput perniagaan, organisasi dan individu untuk menyertai gerakan ini dan menjadi sebahagian daripada penyelesaian.
“Untuk terlibat atau mengetahui lebih lanjut mengenai Hari A.I, boleh hubungi Setiausaha JCI Bukit Bintang melalui e-mel, [email protected],” katanya.
JCI Bukit Bintang adalah cawangan tempatan Junior Chamber International, yang berdedikasi untuk menyediakan peluang pembangunan kepemimpinan yang memperkasakan orang muda untuk mewujudkan perubahan positif dalam komuniti mereka.
Dalam pada itu, Cheong berkata setiap organisasi komersial perlu sentiasa membuat pemeriksaan semak dan imbang bagi mengelakkan berlakunya isu rasuah dan pelanggaran intergriti.
Beliau berkata, jika terdapat mana-mana pekerja melakukan perkara yang salah sebaiknya melaporkan kepada pihak atasan.
“Perangi rasuah sangat penting dalam memastikan setiap industri mempunyai tahap integriti yang tinggi dalam kalangan pekerja,” katanya. – WILAYAHKU