SEBAGAI persediaan menghadapi bencana, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor melancarkan 20 pasukan Bomba Komuniti peringkat Parlimen Klang dalam usaha mengukuhkan sistem keselamatan komuniti.
Tidak hanya diberi latihan asas penyelamatan kebakaran, pasukan yang terdiri daripada penduduk setempat itu turut mempelajari ilmu asas kebombaan di air dan keselamatan awam sekiranya berlaku detik kecemasan.
Dalam Program Bomba Bersama Masyarakat Parlimen Klang yang diadakan di Gravit8 Kota Bayuemas, Pendamar, Klang, Pengarah JBPM Negeri Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail turut melancarkan 49 Kelab Bomba Cilik dengan kerjasama Tabika Kemas.
Kelab Bomba Cilik yang merupakan penjenamaan semula Kelab Keselamatan Kebakaran Kanak-Kanak (Kelab 3K) bertujuan memberi pengetahuan asas berkaitan keselamatan kepada kanak-kanak berusia lima dan enam tahun.
Menurut Wan Md Razali, penubuhan Bomba Komuniti penting untuk memberi ilmu asas dan pendedahan penyelamatan kepada penduduk setempat.
Ini katanya, bagi membolehkan mereka mengambil tindakan awal sekiranya berlaku kecemasan sebelum pihak bomba tiba di tempat kejadian.
“Mereka yang terlibat dengan pasukan ini akan dilatih dengan ilmu-ilmu asas keselamatan awam yang melibatkan penyelamatan kebakaran, air dan lain-lain.
“Selain pelancaran Bomba Komuniti dan Kelab Bomba Cilik, pelbagai aktiviti yang diadakan dalam Program Bomba Bersama Masyarakat ini juga berjaya merapatkan hubungan bomba dengan masyarakat,” katanya.
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Program Bomba Bersama Masyarakat Parlimen Klang, Helmi Khasbi berkata, pihaknya terpanggil mengadakan program ini kerana menyedari pentingnya untuk penduduk setempat memiliki ilmu asas penyelamatan jika berlaku situasi tidak dijangka.

Katanya, selain melatih anak-anak muda asas penyelamatan awam, program ini turut melibatkan pemimpin-pemimpin masyarakat agar mereka boleh mengembangkannya pula kepada komuniti masing-masing.
“Kesedaran keselamatan awam sangat penting dalam menjaga keselamatan komuniti untuk menghadapi saat-saat kecemasan bagi mengelakkan kehilangan nyawa dan kerugian harta benda.
“Bagi memberi kesedaran terhadap masyarakat harus dimulai dengan pemimpin mereka terlebih dahulu, dan program ini tidak hanya melibatkan masyarakat setempat, malah pemimpin-pemimpin di setiap peringkat,” kata Helmi yang juga Pengarah Urusan GH Services Global, penganjur utama program.
Katanya, sambutan menggalakkan yang diberikan masyarakat setempat dengan kehadiran lebih 1,000 pengunjung membuatkan pihaknya bersemangat untuk mengadakan program seumpama itu pada masa akan datang.
Terdahulu Setiausaha Politik kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Zainuri Zainal dalam ucapan perasmiannya berkata, pelancaran Bomba Komuniti dan Kelab Bomba Cilik akan menjadi permulaan kepada pelbagai inisiatif baharu dalam mengukuhkan sistem keselamatan komuniti.
Program Bomba Bersama Masyarakat turut melibatkan agensi-agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) serta pelbagai badan bukan kerajaan (NGO).
Aktiviti lain yang diadakan adalah Festival Warisan Etnik Borneo, zumba, peraduan mewarna kanak-kanak, pertandingan sukan rakyat, pameran pelbagai agensi, taklimat Perkeso dan demonstrasi serta taklimat keselamatan bomba.
Hadir sama Datuk Bandar Klang, Datuk Abd. Hamid Hussain; Pengerusi Kumpulan Fokus Hawa Malaysia Care, Datuk Nor Hayati Onn; Ketua Pengarah Operasi Mitraland Group, Tan Chee Hoew dan Pengarah Eksekutif Mitraland Group, Ir Teo Ching Wee. – WILAYAHKU