Berita

JAWI, MAIWP anjur Bulan Menyantuni Mualaf 2023

BULAN Menyantuni Mualaf 2023 telah bermula pada 1 Julai sehingga 31 Julai ini dengan pelbagai pengisian program menarik. - GAMBAR HIASAN
- Diterbit 13 Julai 2023 9:54 AM MYT

JABATAN Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menganjurkan Bulan Menyantuni Mualaf 2023 bermula 1 Julai sehingga 31 Julai ini.

Menurut JAWI dalam satu kenyataan, program ini menyasarkan penyertaan dalam kalangan golongan mualaf khususnya di sekitar Wilayah Persekutuan melibatkan para pelajar di sebuah pusat perlindungan sementara dan bimbingan mualaf iaitu Kompleks Darul Hidayah (KDH).

Ujarnya, penganjuran program ini adalah selaras dengan agenda yang ditetapkan oleh Pelan Strategik Mualaf Wilayah Persekutuan 2022-2026.

“Ia diadakan bertujuan untuk menyebarkan keindahan ajaran Islam serta memberikan penjelasan dan kefahaman kepada mualaf tentang syariat Islam sekali gus menyantuni mualaf dengan pelbagai aktiviti pengimarahan masjid.

“Dalam masa yang sama, kita juga mahu menjalinkan kolaborasi strategik antara agensi, badan korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk masyarakat dalam usaha dakwah terhadap golongan mualaf,” jelas JAWI program ini mendapat kerjasama pelbagai pihak seperti Amaniah Mualaf Care Centre (AMCC), Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Hidayah Centre Foundation (HCF), Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) dan banyak lagi.

Bagi merancakkan suasana, JAWI juga memaklumkan terdapat 12 acara menarik disusun sempena program berkenaan termasuklah Korban Mualaf MADANI, Khutbah Khas Mualaf, Karnival Harmoni MADANI, Ziarah Rahmah MADANI dan Konvesyen Mualaf 2023.

“Khutbah Khas Mualaf bertemakan Santuni Saudara Baharu akan dibacakan serentak di 90 buah masjid dan 135 surau Jumaat seluruh Wilayah Persekutuan pada 14 Julai (Sabtu).

“Ziarah Rahmah MADANI pula merupakan program turun padang bagi menyampaikan bantuan sumbangan berupaa wang tunai dan barangan keperluan asas kepada keluarga mualaf di sekitar Kuala Lumpur.

“Lebih menarik, kita turut menganjurkan Karnival Harmoni MADANI berkonsepkan pendidikan di Masjid Al-Imam Ghazali Bandar Manjalara dengan pelbagai aktiviti menarik seperti Seminar Pemantapan Ibadah, Pertandingan Tilawah Al-Quran dan Azan, gubahan, permainan dart, pertandingan mewarna, kuiz, dialog harmoni, Masjid Tour dan persembahan kebudayaan,” katanya. karnival tersebut juga menyediakan pelbagai hadiah menarik bagi para pengunjung yang bertuah.

Tambah JAWI, program ini akan dilancarkan pada 23 Julai (Ahad) pukul 11 pagi di Masjid berkenaan sempena program Karnival Harmoni MADANI serta berharap orang ramai dapat hadir menyertai dan memeriahkan acara yang berlangsung.

Untuk rekod, sepanjang tahun ini, JAWI telah melaksanakan pelbagai aktiviti dan program terhadap golongan mualaf terutamanya berkaitan pengurusan pengislaman selain menyediakan kemudahan pendidikan asas Islam di KDH dan masjid-masjid terpilih sekitar Wilayah Persekutuan dengan melibatkan peruntukan berjumlah RM6.48 juta sumbangan MAIWP. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas