JABATAN Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) membenarkan semua masjid dan surau di Wilayah Persekutuan untuk melaksanakan ibadah korban pada tahun ini sesuai dengan situasi negara yang berada di dalam fasa endemik.
Pengarahnya Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, pelaksanaan ibadah korban
bermula selepas selesai menunaikan solat sunat Aidiladha pada 10 Zulhijjah dan hari-hari tasyriq iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah 1443H sebelum berakhir waktu Asar.
“Masjid, surau dan mana-mana pihak yang akan melaksanakan ibadah penyembelihan haiwan korban hendaklah mematuhi peraturan atau ketetapan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Wilayah Persekutuan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurut Mohd Ajib, petugas-petugas korban hendaklah mempunyai tahap kesihatan tubuh badan yang baik dan tidak
menghidap sebarang penyakit kronik.
“Selain itu, petugas korban mestilah tidak mempunyai gejala COVID-19 seperti batuk, sakit tekak, selesema dan demam.
“Mereka juga mestilah tidak mempunyai kontak rapat dengan individu yang disahkan positif COVID-19 dab bukan individu yang berada dalam Perintah Pengawasan Dan Pemerhatian (Home Surveillance Order),” katanya.
Beliau juga menasihatkan umat Islam khususnya di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan agar merebut peluang meraih ganjaran pahala dengan melipatgandakan amalan dalam 10 hari terawal bulan Zulhijjah.
“Umat Islam juga dianjurkan meningkatkan penghayatan terhadap ibadah korban yang dilaksanakan sebagaimana yang disyariatkan oleh Allah SWT,”katanya. –WILAYAHKU