Berita

Jawatankuasa Teknikal ditubuh tangani isu harga dan bekalan, perkasa strategi menjelang perayaan

- Diterbit 23 April 2025 4:30 PM MYT

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hari ini mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Teknikal Penstabilan Bekalan dan Harga Barangan Keperluan Harian, selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 26 Mac lalu.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata jawatankuasa ini akan memantapkan koordinasi rentas kementerian yang sebelum ini hanya digerakkan secara ad hoc ketika musim perayaan.

“Langkah ini adalah usaha penstrukturan semula ke arah strategi lebih bersepadu dan mampan dalam menangani isu-isu bekalan dan harga,” katanya dalam kenyataan rasmi selepas Mesyuarat Jemaah Menteri di sini, hari ini.

Menurut Armizan, penubuhan jawatankuasa ini juga merupakan susulan kepada pembentangan laporan pelaksanaan OPS PANTAU 2025, yang berlangsung dari 2 hingga 30 Mac lalu di bawah inisiatif KITA GEMPUR – Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan. Sebanyak 70,906 premis diperiksa di seluruh negara dan 390 kes direkodkan.

“OPS PANTAU 2025 turut menjadi platform pemantauan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bagi 26 jenis barangan keperluan menjelang sambutan Aidilfitri. Ia turut menyokong pelaksanaan inisiatif Biz-BERKAT (Berniaga Patuh Kod Etika dan Perundangan).

“Jawatankuasa ini akan berfungsi sebagai sistem amaran awal dan menyelaras tindakan intervensi kerajaan jika wujud ketidakseimbangan dalam harga dan bekalan,” jelas beliau.

Armizan turut memaklumkan bahawa Ketua Setiausaha KPDN akan mempengerusikan jawatankuasa tersebut yang turut disertai wakil daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) serta agensi dan pemain industri berkaitan.

“Pemantauan akan difokuskan kepada barangan seperti ayam, telur, ikan, sayur-sayuran, beras, minyak masak dan lain-lain keperluan asas. Mesyuarat pertama dijadualkan berlangsung pada Mei 2025 dan akan diadakan secara berkala setiap dua bulan, ” katanya.

Armizan menegaskan bahawa pendekatan ini menyokong matlamat kerajaan MADANI dalam mengurangkan beban kos sara hidup rakyat melalui penglibatan menyeluruh pemegang taruh dalam ekosistem harga dan bekalan negara.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas