Berita

Jawatankuasa Pengurusan Insiden ditubuhkan di peringkat DBKL

- Diterbit 21 November 2024 12:14 PM MYT

JAWATANKUASA Pengurusan Insiden Awam Kuala Lumpur ditubuhkan sebagai usaha untuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menangani serta memberi bantuan segera waktu amaran banjir kilat diterima.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata jawatankusa itu akan memulakan misi bantuan kurang daripada setengah jam tempoh response time daripada waktu diterima amaran awal banjir jalan atau banjir kilat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Jawatankuasa itu dibantu juga oleh agensi luar yang lain seperti Angkatan Pertahanan Awam (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan
Penyelamat dan Jabatan Pengairan dan Saliran Kuala Lumpur (JPSKL)

“Seramai 490 petugas dalaman DBKL akan siap siaga di lapangan dengan dibantu oleh petugas pasukan pemantauan secara visual melalui lebih 60 unit CCTV di bilik gerakan khususnya di kawasan hotpsot yang telah dikenal pasti ternasuk memantau kawasan-kawasan sungai, parit dan juga kolam takungan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Teresa Kok Suh Sim (PH-Seputeh) dalam sesi jawapan menteri di parlimen hari ini.

Zaliha berkata DBKL akan mengambil satu langkah proaktif dengan semua variable message system (VMS) atau papan iklan LED di bawah seliaan DBKL akan memaparkan status semasa cuaca dan amaran kemungkinan berlakunya banjir kilat.

“Kita mendapat kerjasama daripada Jabatan Metreologi (MET ) dan juga JPS, dan ini kita akan dimulakan dengan papan iklan LED di Menara DBKL terlebih dahulu.

“Jadi rakyat ataupun penduduk warga Kuala Lumpur boleh mengambil langkah awal jika kita memberi amaran,” katanya.

Menurut Zaliha, sebagai inisiatif persediaan menghadapi Monsun Timur Laut, DBKL juga telah menganjurkan program-program latihan seperti
pengendalian bot bersama agensi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Program yang berlangsung pada 20 Ogos tahun ini melibatkan lima agensi lain di bawah pentadbiran Jawatankuasa Bencana Daerah Kuala Lumpur iaitu PDRM, ATM, APM, BOMBA, dan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) sendiri.

“Jadi program ini adalah bertujuan untuk memastikan bot penyelamat berada dalam keadaan baik dan menguji kemampuan prestasi,” katanya.

Kata beliau, DBKL juga telah menghadiri lawatan ke Projek Lembangan Sungai Kelang (PLSK) yang dianjurkan oleh JPS Kuala Lumpur sebagai langkah proaktif pihaknha dalam usaha menangani Monsun Timur Laut dan juga sebahagian persediaan Kuala Lumpur sebagai tuan rumah bagi menyambut Kepengerusian ASEAN 2025. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas