Artikel

Jauhi cerita berlebihan

CERITA berlebihan mengenai seseorang akan membawa kepada unsur fitnah dan menyebabkan seseorang itu akan dipandang serong. - Gambar hiasan
- Diterbit 11 Oktober 2024 12:46 PM MYT

DALAM dunia yang saling berkaitan hari ini, kuasa penceritaan adalah sangat besar kerana ia membentuk persepsi dan mempengaruhi pendapat merentas pelbagai budaya.

Meskipun begitu, fiksyen membesar-besarkan atau menyalahgambarkan fakta yang bertentangan secara tidak sengaja boleh menyebabkan kemudaratan yang ketara lebih-lebih lagi apabila cerita yang disampaikan menyentuh subjek sensitif seperti agama.

Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan, Jamali Adnan berkata masyarakat awam secara asasnya menerima apa sahaja yang disampaikan oleh para pendakwah terutamanya di pentas masjid dan surau sebagai satu kefahaman benar yang perlu diyakini oleh mereka.

“Penyebaran cerita-cerita palsu atau berlebihan biasanya mempunyai unsur-unsur yang boleh menarik minat para pendengar. Hal ini boleh diumpamakan seperti masakan yang mempunyai pelbagai perasa tambahan, pastinya masakan itu akan menjadi lebih sedap berbanding rasa asal masakan tersebut.

“Begitu jugalah dalam sesebuah penceritaan, sekiranya dikekalkan versi cerita yang asal, pastinya banyak aspek tidak disentuh dalam riwayat yang sahih. Namun setelah dilakukan padanya penambahan, maka kisah tersebut menjadi menarik untuk didengar dan disampaikan kepada orang lain,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Jamali turut menjelaskan bahawa dalam sudut dakwah Islam, penyebaran cerita atau kisah yang kurang tepat akan menyebabkan kekeliruan dan salah faham terhadap ajaran Islam.

“Selain itu, kemajuan teknologi maklumat pada hari ini yang menyebabkan penyebaran cerita-cerita yang tidak tepat lebih meluas akan menyebabkan salah faham dalam kalangan golongan yang bukan beragama Islam.

“Orang yang bukan beragama Islam sudah pastinya tidak memiliki asas kefahaman agama yang kuat, yang akan mengakibatkan mereka memandang serong kepada ajaran Islam apabila mendengar cerita-cerita yang berlebihan,” katanya.

Berbicara lanjut, Jamali berkata misalnya seperti kisah seorang yang banyak beristighfar sehingga dia dapat berjumpa dengan Imam Ahmad (rujuk: https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-al-hadith/4444-irsyad-al-hadith-siri-ke-498-riwayat-imam-ahmad-berjumpa-dengan-penjual-roti).

“Hakikatnya banyak lagi ayat Al-Quran dan hadis yang menunjukkan kelebihan beristighfar tanpa perlu membawakan kepada kisah-kisah yang tidak dapat dipastikan kesahihannya.

“Selain itu, antara kisah yang sering diceritakan berkaitan Nabi Ibrahim yang enggan berdoa (rujuk: https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-al-hadith/4381-irsyad-al-hadith-siri-ke-489-nabi-ibrahim-as-tidak-mahu-berdoa-ketika-dicampakkan-ke-dalam-api).

“Kisah ini akan menimbulkan salah faham seolah-olah tidak ada keperluan untuk berdoa kepada Allah SWT, sedangkan berdoa kepada Allah SWT merupakan antara amalan yang sangat dituntut,” katanya lagi.

Tegas beliau, kisah-kisah yang berlebihan juga akan menyebabkan masyarakat Islam kurang fokus terhadap isu yang lebih penting.

“Antara kisah-kisah yang suka diperbesarkan ialah kisah-kisah yang berkait dengan karamah para wali Allah. Tanpa menafikan kewujudan karamah, hakikatnya apa yang lebih utama ialah kewajipan menuntut ilmu seperti fardu ain, akidah, akhlak, hadis dan seumpamanya (rujuk:https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-al-hadith/5505-irsyad-al-hadith-siri-ke-574-benarkah-kisah-imam-ahmad-al-rifa-i-bersalaman-dengan-nabi-saw).

“Selain itu, apa yang lebih bahaya lagi ialah sekiranya kisah-kisah seperti ini disandarkan kepada Rasulullah SAW, kerana pendustaan ke atas nama Baginda lebih dahsyat dan besar dosanya, misalnya seperti kisah yang kononnya Rasulullah SAW menghabiskan sebekas buah anggur (rujuk:https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-al-hadith/1085-irsyad-al-hadith-siri-ke-124-kisah-nabi-dan-sebekas-anggur),” katanya.

Justeru itu katanya, umat Islam sewajarnya menjadi seorang yang kritis dalam mendengar apa sahaja maklumat yang disampaikan, iaitu dengan tidak menerima sesuatu perkara secara bulat-bulat, terutamanya apabila mesej tersebut disampaikan oleh orang yang tidak dikenali mengenai latar belakang identitinya.

“Masyarakat awam juga boleh mengambil pendekatan untuk merujuk semula sesuatu kisah atau cerita yang didengarinya kepada ilmuwan yang lain bagi memastikan kesahihan sesuatu kisah yang didengarinya.

“Masyarakat awam juga perlu menanamkan prinsip untuk tidak mudah menerima apa sahaja yang didengarinya, sebelum memeriksa perkara tersebut bagi memastikan ia benar-benar sahih. Saidina Abu Hurairah RA ada meriwayatkan sebuah hadis bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Cukuplah seseorang itu dianggap berdusta apabila dia menceritakan apa sahaja yang dia dengar”. – Riwayat Muslim,” katanya.

PENDAKWAH BERTAULIAH

Beliau berkata bagi mimastikan para pendakwah sentiasa mematuhi etika dan prinsip dalam menyampaikan dakwah mereka, undang-undang yang terpakai di Malaysia telah pun menetapkan bahawa hanya mereka yang mempunyai tauliah sahaja yang dibenarkan untuk menyampaikan pengajaran agama.

“Di Wilayah Persekutuan misalnya, Seksyen 96, Akta Pentadbiran Undang-undang Agama Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505] memperuntukkan bahawa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mempunyai kuasa dalam melantik Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama, untuk memberikan tauliah bagi maksud mengajar mengenai apa-apa aspek agama Islam dan untuk menarik balik tauliah sedemikian.

“Kegagalan seseorang untuk memperolehi tauliah sebelum menyampaikan apa-apa ceramah agama ini boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 11, Akta Kesalahan Jenayah Syariah 1997 [Akta 559], yang memperuntukkan bahawa mana-mana orang yang mengajar atau mengaku mengajar apa-apa perkara yang berhubungan dengan agama Islam tanpa tauliah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Ujarnya,  Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan melalui Unit Istinbat juga turut mengadakan Kelas Tafaqquh secara berkala sebagai satu bentuk pemantapan kepada para pemegang tauliah ceramah di Wilayah Persekutuan.

“Inisiatif-inisiatif sebegini sudah pasti dapat memantapkan lagi para pendakwah dan seterusnya mengekang daripada penyebaran cerita-cerita palsu di meja penceramah,” katanya.

Dalam pada itu, Jamali berkata cerita-cerita yang berlebihan mengenai seseorang akan membawa kepada unsur fitnah dan menyebabkan seseorang itu akan dipandang serong oleh masyarakat sedangkan perkara yang sebenarnya bukanlah begitu.

“Begitu juga seseorang yang ingin menceritakan mengenai musuhnya, dengan menambah-nambah dalam penceritaan tersebut dia berjaya untuk menampakkan seolah-olah musuhnya itu benar-benar jahat.

“Selain itu, ada juga seseorang yang bercerita mengenai seseorang yang disukainya, dengan menambah-nambahkan cerita mengenai orang tersebut pastinya akan nampak seolah-olah dia merupakan manusia yang paling mulia di muka bumi ini,” katanya.

Tambahnya, jika masalah ini tidak dibendung, dikhuatiri perkara ini akan memberikan kesan terhadap umat Islam dan menimbulkan banyak salah faham dan kekeliruan terhadap kefahaman agama Islam. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas