HEBAHAN berkenaan info Belanjawan 2021 yang dibentang 6 November lalu, terus dipergiat oleh Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JaPen- WPKL) menerusi Info On Wheels (IOW).
Bagi Pengarah Penerangan Negeri WPKL, Erwin Khairul Ahmad, perkara tersebut menjadi fokus utama jabatan dalam menyampaikan dasar-dasar kerajaan agar dekat dan difahami oleh segenap lapisan rakyat walaupun negara sedang berdepan dengan pandemik COVID-19.
Katanya, menerusi IOW – Ayuh Bersama Cakna Belanjawan 2021, kesemua 12 Parlimen di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur termasuklah Putrajaya, telah diadakan hebahan yang tertumpu di kawasan perumahan dan premis-premis kedai.
“Hebahan IOW digerak dalam dua sesi, pagi dan petang dengan infonya Belanjawan 2021 sebagai fokus utama JaPen WPKL menyampaikan hasrat kerajaan zahirkan konsep Prihatin Rakyat dalam menjamin kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi dalam masa sama memastikan penularan COVID-19 ditangani dengan berkesan.
“Belanjawan 2021 bertema ‘Teguh Kita, Menang Bersama’ sangat signifikan bagi rakyat, ia perlu diberitahu dan dijelas apakah strategi kerajaan kerana Belanjawan 2021 adalah sebahagian janji untuk mencapai kemakmuran sebenar seluruh rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan media.
Kekerapan pelaksanaan hebahan IOW di sekitar WPKL dan Putrajaya adalah antara enpat hingga lima kali sehari mengikut kawasan Parlimen yang telah dijadualkan.
Menurut Erwin, pelaksanaannya tetap mematuhi SOP digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan sebagai satu keutamaan bagi membendung COVID-19 dengan hanya dua petugas bagi setiap kenderaan.
“Info hebahan melalui IOW – Ayuh Bersama Cakna Belanjawan 2021 ini dilakukan dengan menggunakan Bahasa Melayu, Cina dan Tamil. – WILAYAHKU