Berita

‘Janji’ pulangan 8-10% sehari: Pesara swasta rugi RM4 juta

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan
- Diterbit 24 Februari 2025 6:00 PM MYT

SEORANG pesara swasta berusia 73 tahun mengalami kerugian RM4 juta selepas terpedaya dengan skim pelaburan saham yang diiklankan di laman Facebook.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor telah menerima laporan polis di Petaling Jaya berkaitan kes penipuan itu.

Menurut beliau, pihaknya telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Hasil siasatan awal mendapati pada pertengahan November tahun lalu, mangsa berminat menyertai pelaburan saham di Facebook dikenali sebagai pelaburan PVTCMax.

“Mangsa telah dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp yang ditadbir oleh dua individu,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

KETUA Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan

Hussein memberitahu, mangsa dijanjikan pulangan yang lumayan sebanyak lapan hingga 10 peratus sehari.

Bagi tujuan pelaburan tersebut katanya, mangsa diminta untuk membuat 62 transaksi bayaran melibatkan 10 akaun bank yang berbeza berjumlah RM4 juta.

“Mangsa sedar telah diperdaya apabila diminta untuk membuat pelbagai bayaran tambahan jika hendak mengeluarkan keuntungan.

“Mangsa mengalami kerugian sebanyak RM4 juta. Modus operandi digunakan suspek adalah dengan memperdaya mangsa melalui iklan pelaburan di Facebook,” katanya.

Untuk itu pihaknya memberi peringatan kepada semua pihak supaya sentiasa berwaspada terhadap tawaran-tawaran pelaburan dalam platform media sosial. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas