Berita

“Jangan tengok bayaran dahulu tetapi lihat pengalaman yang diterima” – Ellie Suriaty

- Diterbit 23 Ogos 2024 9:00 PM MYT

“PELAKON teater mendapat bayaran yang tidak setimpal itu memang benar dan masih berlaku. Tambah pula, sesi latihan memakan masa selama tiga bulan,” luah Ellie Suriaty.

ELLIE Suriaty antara pelakon yang ditunggu-tunggu dalam teater Andak Bertandak.

Aktres yang disegani ramai,  Ellie Suriaty,53, berkata demikian apabila masih wujud bayaran rendah yang diberikan kepada pelakon teater.

Ellie bagaimanapun mengingatkan kepada pelakon baharu yang berdepan situasi itu supaya tidak menjadikan masalah terbabit sebagai satu alasan untuk tidak memberikan persembahan terbaik.

“Tetapi seiring dengan peredaran waktu dan pengalaman, bayaran yang diterima sudah semakin setimpal sekarang dan bagusnya untuk kami sebagai permulaan dulu apabila berdepan situasi bayaran tidak setimpal selain komitmen tinggi, ia mengajar kami untuk mencintai seni, berdisiplin dan menghargai ruang pentas serta  penonton yang hadir.

“Tiada harga yang setimpal dapat menyamai pengalaman yang dilalui sepanjang tempoh pembelajaran itu. Jadi saya sarankan kepada pelakon baharu jika kalian mendapat tawaran untuk membintangi pementasan teater, jangan tengok bayaran dahulu tetapi lihat pengalaman yang diterima,” katanya.

TIM dan barisan pelakon teater Andak Bertandak

Menurut Ellie, dia mengaku bayaran lumayan sememangnya memberi keseronokan kepada pelakon, namun mereka akan terlepas peluang untuk mencintai seni lakonan yang sebenar.

“Kalau dapat  bayaran tinggi memang lah seronok, tapi anda akan hilang nikmat kepayahan untuk mencapai sesuatu yang terbaik dalam diri anda.

“Apabila anda lalui ujian ini pada peringkat permulaan, percayalah ia satu didikan untuk memupuk emosi dan kecintaan terhadap sesuatu karya.

“Bagi saya, anda perlu lalui dulu, apabila kalian sudah mencapai tahap 10 tahun kehidupan sebagai anak seni, barulah ketika itu anda layak mendapat bayaran yang setimpal,” katanya.

Dalam pada itu, Ellie berkongsi rasa teruja apabila berpeluang terbabit dalam teater Andak Bertandak yang bakal dipentaskan pada 29, 30, 31 Ogos ini dan 1 September depan di Pentas 2, The Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC).

Pementasan teater Andak Bertandak ini diarahkan oleh Azhar Zainal dan skrip oleh Fasyali Fadzly yang juga Dekan Fakulti Teater, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

RIENA Diana

Selain Ellie, teater itu turut membariskan pelakon seperti Azhan Rani, Riena Diana, Jay Iswazir, Dottie, Aizat Saha, Fadhli Masoot dan Razman Mahayuddin.

Teater Andak Bertandak mengisahkan kehidupan keluarga Andak dan masyarakat di sebuah kampung yang percaya kepada perkara tahyul sehingga menolak teknologi perubatan moden tanpa alasan munasabah.

JAY Iswazir
AZHAN Rani

Penerbit teater Andak Bertandak, Juan Ab Aziz berkata, pementasan teater Andak Bertandak ini adalah lebih daripada sebuah pementasan teater.

“Ianya merupakan satu nafas serta peluang yang baharu dalam industri teater khususnya dan industri kesenian secara amnya untuk lebih aktif dan mendapat perhatian serta pengiktirafan daripada masyarakat di luar sana.

“Kerjasama serta sokongan daripada ASWARA dan pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya juga amat memberikan impak yang besar untuk kelancaran pementasan teater ini.

Tiket menyaksikan teater Andak Bertandak sudah dijual secara atas talian di www.cloudjoi.com dengan harga tiket bermula RM65. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas