ANAK-ANAK kategori orang kurang upaya (OKU) intelektual tidak seharusnya dibiarkan atau hidup terasing di rumah sebaliknya perlu digalakkan terlibat dalam sukan atau aktiviti interaktif lain.
Demikian teguran Presiden Olimpik Khas Malaysia Cawangan Putrajaya (SOPj), Raaginee Shalesh terhadap ibu bapa yang memiliki anak-anak kategori tersebut.
Malah menurut beliau penglibatan dalam sukan dan aktiviti sosial dapat membantu anak-anak berkeperluan khas itu membina keyakinan diri.
“Ini juga dapat meningkatkan kualiti hidup dengan memberi mereka peluang mempamerkan bakat serta kebolehan,” katanya.
Walau bagaimanapun pihaknya kesal dengan sikap sesetengah ibu bapa yang masih keberatan mendaftarkan anak mereka di Jabatan Kebajikan Masyarkat (JKM) bagi mendapatkan kad OKU.
“Olimpik Khas menyediakan platform untuk kanak-kanak berusia lapan tahun dan ke atas untuk terlibat dalam sukan.
“Setiap orang berpeluang untuk terlibat dalam aktiviti dengan syarat yang minimum sebagai galakan, dengan beberapa peraturan dikenakan bagi pertandingan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.
Menurutnya mereka boleh bermula di kejohanan peringkat negeri, kemudian berkembang ke peringkat kebangsaan, serantau dan akhirnya Sukan Olimpik Khas Dunia.
“Olimpik Khas bukan hanya sekadar sukan, ia juga menumpu kepada pendidikan dan saringan kesihatan termasuk pemeriksaan mata dan telinga bagi menjamin kesejahteraan mereka secara menyeluruh,” katanya.
Raaginee berkata kanak-kanak berkenaan biasanya akan dirujuk ke SOPj oleh sekolah, Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan badan bukan kerajaan (NGO).
“Pembabitan mereka dalam sukan bukan sahaja menggalakkan perkembangan positif malah memberi pengiktrafan dan peluang untuk mereka berjalan termasuk ke luar negara,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata atlet SOPj telah meraih 11 pingat termasuk tiga emas sekali gus membantu Malaysia pulang dengan 20 pingat pada Kejohanan Boccia dan Boling Asia Pasifik Olimpik Khas di New Delhi pada November lepas.
“Selain itu, kira-kira 80 atlet menyertai Sukan Tahunan SOPj peringkat negeri pada 23 Februari lepas untuk bertanding dalam pelbagai jenis sukan seperti ‘bocce’, badminton, sofball dan olahraga.
“Atlet yang terpilih pada acara di peringkat negeri akan bertanding di peringkat kebangsaan yang dijangka diadakan di Ipoh, Perak pada Jun depan. Ini merupakan peluang terbaik untuk kanak-kanak ini ke peringkat seterusnya,” katanya. – WILAYAHKU