Berita

Jangan sibuk berpolitik, tumpu bantu rakyat – Zahid

- Diterbit 4 November 2024 5:42 PM MYT

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan kepada semua parti politik supaya lebih menumpukan untuk membantu rakyat pada masa ini dan tidak sibuk berpolitik.

Beliau yang merupakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) menyerahkan kepada AMANAH untuk memutuskan sasaran parti itu diperingkat negeri untuk bertanding 20 kerusi DUN Johor.

“Kita serahkan kepada kepimpinan parti berkenaan dan saya fikir pilihan raya lama lagi.

“Tiga tahun lagi. Jangan sibuk berpolitik. Kita mesti sibukkan diri kita untuk membantu rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas perasmian penutupan Konvensyen Pemerkasaan Kepimpinan Luar Bandar Madani 2024.

Sebelum itu, AMANAH mensasarkan untuk bertanding 20 daripada 56 kerusi DUN Johor pada pilihan raya akan datang kerana BN tidak mahu membentuk Kerajaan Perpaduan di negeri itu.

Timbalan Pengerusi AMANAH Johor, Dzulkefly Ahmad berkata keputusan itu diambil sebagai tanda tidak bersetuju dengan kepimpinan BN negeri itu walaupun selepas menang dalam PRK Mahkota baru-baru ini.

Beliau juga tidak menolak dengan sasaran itu kemungkinan akan berlakunya pertandingan tiga penjuru antara Pakatan Harapan (PH), BN dan Perikatan Nasional (PN) di Johor pada pilihan raya akan datang.

Pada PRN Johor 2022, UMNO menang 40 daripada 56 kerusi dengan PH terdiri DAP menang 10 kerusi, manakala PKR dan AMANAH masing-masing satu kerusi.

PN pula menang tiga kerusi dengan Bersatu dua, manakala PAS satu kerusi. Sementara Muda juga menang satu kerusi.

Kerajaan Perpaduan diwujudkan di peringkat Persekutuan dan di Pahang, Perak dan Selangor oleh gabungan PH-BN. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas