PENGENDALI institusi pendidikan Majlis Amanah Rakyat (MARA) diingatkan tidak menyembunyikan sebarang kes buli yang berlaku dalam kalangan pelajar atau akan berdepan tindakan tegas.
Pengerusi MARA, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata tindakan akan dikenakan terhadap pengetua institusi pengajian terbabit sekiranya didapati menyembunyikan kes berkenaan, selaras dengan arahan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Jangan sesekali ada termasuk Maktab Rendah Sains Mara yang sorok kes buli. TPM telah arahkan saya, jika ada kes buli disorokkan maka tindakan turut diambil terhadap pengetua terbabit,” katanya di Facebook.
Sementara itu, Asyraf juga menegaskan tidak ada kompromi atau pilih kasih terhadap mana-mana pelaku buli di institusi pendidikan MARA.
“Saya tidak kira anak pembesar, anak orang kenamaan berpengaruh sekalipun, jika didapati melakukan perbuatan buli, mereka tiada tempat di institusi pendidikan Mara. You touch you go! katanya. – WILAYAHKU