BERKHIDMAT sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras, Yang Berhormat (YB) TENGKU ZULPURI SHAH RAJA PUJI turut aktif dalam politik nasional.
Dipilih memegang jawatan Timbalan Setiausaha Agung DAP, beliau tidak terlepas memerhatikan senario politik semasa yang melingkari isu-isu melibatkan dalaman Kerajaan Perpaduan.
Mahu semua pihak bertindak matang, beliau mengingatkan parti-parti dalam pentadbiran kerajaan supaya tidak saling menyerang antara satu sama lain.
Bercakap kepada wartawan Wilayahku, METRA SYAHRIL MOHAMED, beliau juga mengakui parti-parti tersebut perlu kerap bertemu dan berbincang dalam mencari penyelesaian terbaik terhadap sesuatu isu yang timbul.
Sebagai antara pemimpin Melayu dalam DAP, bagaimana YB melihat perkembangan parti itu khususnya dalam mendepani keraguan terhadap ideologi perjuangannya?
Sebagai salah seorang pemimpin Melayu dalam parti DAP, tugas meyakinkan persepsi keraguan ideologi perjuangan DAP bukanlah satu perkara yang mudah atau senang.
Orang Melayu sudah biasa dengan agama dan bangsanya, lebih-lebih jika bercakap soal pengalaman sejarah dijajah serta isu berkaitan Islam.
Tetapi ini semua bukanlah satu penghalang untuk saya membuka minda mereka kepada ideologi parti walaupun mengambil masa dan beberapa pendekatan perlu dilakukan.
Sekarang ia banyak positif, tapi DAP kena kerja kuat lagi dalam melahirkan golongan pemimpin cendekiawan DAP Melayu.
Namun dalam dua ke tiga isu baru-baru ini menampakkan sisi perbezaan, adakalanya saling serang-menyerang, antara DAP dan UMNO. Apakah ia sihat pada pandangan YB?
Sebenarnya berbeza pendapat itu adalah amalan baik dalam sistem sosial demokrasi. Cumanya ada perbezaan di antara kerajaan dan pembangkang.
Jika dalam kerajaan mestilah dalam saluran tertentu untuk meluahkan pendapat yang berbeza demi kebaikan bersama.
Apa yang berlaku akhir-akhir ini saya melihat satu perkembangan yang tidak baik, tidak matang dan tidak sihat. Jika dilihat dari naratif yang berlaku, ia mempunyai agenda yang tertentu yang boleh kita agak, sepatutnya parti di dalam kerajaan tidak perlu menyerang satu sama lain.
Selalunya ketika pertikaian berlaku sesama parti dalam Kerajaan Perpaduan, tentunya YB ada cadangan bagi menambah baik perpaduan kalangan anggota kerajaan itu sendiri?
Pertikaian atau pendapat yang berbeza yang tidak melibatkan dasar, sebenarnya tiada masalah, ia perlu didebatkan secara profesional dan terbuka serta rasional.
Kecuali yang melibatkan dasar atau isu sensitif atau 3R (agama, bangsa dan institusi diraja), sepatutnya dibincangkan dalam pre-council, bukan depan orang awam. Ini menunjukan kita ada kesepaduan.
Dalam hal ini pemimpin parti wajib tegur pemimpin seperti dalam mesyuarat mereka sendiri, tidak perlu untuk menjadi hero atau untuk menjadi juara atau cuba demand jawatan tertentu untuk menutup mulut.
Biasanya pihak atasan akan berbincang sesama dalam Kerajaan Perpaduan semoga masalah ini dapat diselesaikan dari dalam.
Bagaimana pula dengan perjalanan Kerajaan Perpaduan di Pahang? Apakah ia berjalan dengan baik atau ada ruang-ruang untuk ditingkatkan semangat serta penyatuannya?
Alhamdulilah Kerajaan Perpaduan di Pahang bertambah baik walaupun masih ada perkara-perkara yang masih belum selesai. Sebagai sebuah parti yang pernah menjadi kerajaan di zaman Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, ia banyak memberi pengajaran dan pengalaman untuk mentadbir Pahang mahupun negara. Pihak PH cuba memahami permasalahan dalaman yang dialami parti-parti lain supaya kerjasama ini kekal. Parti-parti ini kena banyak mengadakan pertemuan dan berbincang bersama supaya banyak perkara yang boleh selesai.
Biarpun begitu, pihak di sebelah sana sering melaungkan keyakinan untuk merampas Pahang dalam pilihan raya akan datang. Atas dasar apa YB rasakan keyakinan itu perlu disangkal?
Biasalah kerja pembangkang untuk melemahkan kerajaan semasa, sama ada cara sihat (debat dalam dewan) atau buat fitnah tanpa fakta untuk meyakinkan rakyat bahawa mereka boleh mentadbir.
Jika kita lihat sejarah Perikatan Nasional (PN) memerintah (32 bulan), indah khabar dari rupa.
Naratif kaum dan agama sengaja dimainkan bagi menutup ruang-ruang kelemahan mereka dalam membina ekonomi dan negara ke arah kecemerlangan.
Mereka cuba membawa naratif masing-masing apabila gagal dalam mentadbir negeri-negeri yang mereka kuasai dengan menyalahkan Kerajaan Pusat dan memainkan isu-isu menakutkan orang Melayu seperti negara telah dikawal oleh DAP.
Hakikatnya isu agama dan bangsa adalah mainan mereka untuk menutup kelemahan-kelemahan yang ada.
Baru-baru ini di dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, YB ada menyuarakan mengenai pembinaan institusi warga emas. Seberapa seriusnya Kerajaan Negeri perlu memandang apa yang YB suarakan itu?
Ia adalah proses biasa kerana jika kita lihat Selangor lebih ke depan dalam menangani masalah pertambahan warga emas. Jika kita lihat dari statistiknya, warga emas yang terbiar meningkat dan ketidakpedulian masyarakat pun meningkat.
Persediaan memfokuskan kepada isu itu perlu dan kita kena belajar dari negara maju dalam menangani permasalahan ini.
Pandangan YB mengenai penghijrahan anak muda ke Lembah Klang untuk mencari pekerjaan? Apakah ia serius di Pahang atau sebaliknya? Atau sektor pekerjaan di Pahang masih stabil untuk anak muda berbanding mereka perlu berhijrah ke Lembah Klang khususnya Kuala Lumpur?
Penghijrahan anak muda ke Lembah Klang adalah pilihan mereka sendiri. Sebenarnya banyak peluang pekerjaan disediakan kerajaan negeri yang tidak direbut oleh anak tempatan.
Ini mungkin dipengaruhi oleh budaya yang lebih sofistikated serta terlalu memilih kerja yang membuatkan anak muda memilih di sana (khususnya Kuala Lumpur).
Di Pahang banyak peluang pekerjaan disediakan dalam bidang perindustrian mahupun pertanian. Saya menyarankan kerajaan negeri supaya membuat iklan dan penerangan serta kesedaran yang lebih proaktif lagi.
Bagaimana YB melihat lonjakan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kepada sektor ekonomi di Pahang?
ECRL ini sebenarnya banyak memberi impak kepada negeri pantai timur khususnya Pahang. Sektor pelancongan akan berkembang kerana kemudahan yang cepat dan sistematik.
Dari segi ekonomi, ia memudahkan dari segi pengangkutan barang serta penumpang dengan harga yang lebih kompetitif untuk bersaing.
Kerajaan perlu membina lebih banyak infrastuktur yang baik bagi pelabur.
Pada pandangan YB, benarkah kebebasan bersuara semakin memburuk di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI ketika ini seperti digembar-gemburkan parti lawan?
Saya rasa kebebasan bersuara tidak disekat malah saya melihat Kerajaan Perpaduan ini terlalu berlembut. Jika kita lihat banyak fitnah dan isu 3R dilontarkan oleh pihak lawan secara terang-terangan. Ini ditambah dengan serangan cybertroopers yang tidak ditangani oleh pihak kerajaan dengan cepat dan berkesan.
Pendapat YB apabila ada yang mengatakan Kerajaan MADANI kerajaan sepenggal?
Insya-Allah saya yakin apa yang Kerajaan Perpaduan buat ini banyak kebaikannya kepada semua lapisan rakyat. Saya tak nampak kerajaan sepenggal tetapi boleh terus kekal beberapa penggal lagi jika sikap integriti dapat diteruskan. – WILAYAHKU