Selebriti

Jangan sakiti diri

- Diterbit 12 Januari 2024 12:20 PM MYT

PENYANYI tinggi lampai, Aisha Retno menggunakan lirik-lirik lagu ciptaannya sebagai cara untuk meluahkan elemen cinta yang kompleks dalam menasihati anak muda yang sanggup berkorban apa sahaja demi cinta.

Aisha atau nama sebenarnya, Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 22, berkata kecewa dalam cinta adalah lumrah kehidupan yang sentiasa ditempuhi sesiapa sahaja tetapi tidak adil jika sanggup memudaratkan diri sendiri.

“Saya sebagai penulis dan penyanyi banyak menterjemahkan pengalaman percintaan dalam lagu. Apa sahaja yang dirasai saya masukkan dalam lirik-lirik lagu tersebut.

“Jadi nasihat saya kepada mereka yang putus cinta tu, menyakiti diri itu perkara yang perlu kita jauhi. Kenapa kita nak salahkan diri sendiri? Kecewa dalam cinta itu perkara biasa yang akan sembuh oleh masa.

“Bagi saya dalam percintaan ini, tiada istilah salah atau betul. Ini kerana banyak lagi aspek lain yang boleh difikirkan atau diambil sebagai jalan penyelesaian secara matang.

“Untuk itu, kita perlu mendekatkan diri dengan Allah atau ikut kepercayaan agama selain perlu muhasabah diri. Ambil masa untuk fikir apa yang terbaik dan apa yang perlu diperbaiki. Sebagai manusia biasa, kita pasti akan buat silap,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, dia turut berpesan agar jangan mengasingkan diri jika kecewa sebaliknya habiskan masa bersama keluarga dan kawan rapat untuk menenangkan diri.

“Umur remaja masih terlalu muda dan jauh lagi perjalanan dalam hidup ini. Kejarlah cita-cita sebelum cinta,” ujarnya yang bakal beraksi di pentas berprestij Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) menerusi lagu Sutera.

Sebagai penggiat seni, Aisha tidak pernah melabelkan dirinya sebagai artis malah terbuka untuk dijadikan rujukan atau inspirasi buat golongan muda di luar sana asalkan mereka bersemangat untuk terus menjalani kehidupan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas