AHLI Parlimen Beluran daripada Perikatan Nasional (PN), Dr Ronald Kiandee mendakwa kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada Sabah adalah mengelirukan.
Jika diperhalusi, ia adalah satu tuduhan tidak berasas. Manakan tidak, ia seolah-olah mempertikaikan kredibiliti Anwar sebagai Perdana Menteri. Sedangkan dalam masa sama, kerajaan terbuka untuk berbincang mengenai peruntukan tambahan Kerajaan Persekutuan kepada Sabah.
Perdana Menteri menjelaskan, peruntukan RM6.6 bilion kepada Sabah yang diumumkannya pada Pesta Kaamatan, 31 Mei lalu, adalah bagi pembangunan sahaja. Bukanlah untuk semua aspek.
“Jangan politikkan benda itu. Kalau hendak minta lagi, bincang elok-elok,” kata beliau.
Sebaliknya ujar Anwar semasa sambutan Pesta Kaamatan tempoh hari, semasa pentadbirannya, peruntukan kepada Sabah meningkat dengan ketara hingga melebihi tuntutan hasil 40 peratus kerajaan negeri dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Sejak saya jadi Perdana Menteri berbanding sebelumnya iaitu pada tahun 2022, peruntukan keseluruhan Sabah ialah RM12.9 billion. Jika dibandingkan pada 2024, saya tambah menjadi RM16 bilion untuk Sabah.
“Jadi, orang yang menyerang kita harus ingat. Betul isu 40 peratus belum diputuskan tetapi RM16 bilion ini jauh melepasi 40 peratus itu.
“Boleh buat tuntutan, tapi jangan nafikan itu kerana bila dengar RM16 bilion memang senang. Tapi apabila saya ke Pulau Pinang, Pahang, Johor, mereka juga akan tanya,” ujar beliau.
Terdahulu, pada 4 Ogos lalu, Anwar menepis dakwaan beliau telah menipu tentang peruntukan untuk Sabah.
RM16 bilion merangkumi peruntukan keseluruhan untuk Sabah bagi tahun ini, untuk perbelanjaan pelbagai perkara antaranya sekolah, pendidikan, keselamatan sempadan dan pembangunan. – WILAYAHKU