PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan untuk tidak mempolitikkan isu peruntukan negeri Sabah.
Terdahulu Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee membidas Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung kenyataannya yang mengelirukan tentang peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada Sabah.
Ronald yang juga Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, ketika mengumumksn bahawa kerajaan persekutuan memperuntukkan RM16 bilion kepada Sabah, perdana menteri gagal mengambil kira bahawa di bawah Perlembagaan Persekutuan, Sabah berhak mendapat tambahan 40 peratus daripada hasil persekutuan dan cukai yang diperolehi dari Sabah.
Ini akan mencecah kira-kira RM4 bilion, berdasarkan pengumuman Anwar bahawa kerajaan persekutuan mengutip RM10.2 bilion cukai dan hasil daripada Sabah tahun lepas.
Menurut Anwar, peruntukan sebanyak RM16 bilion untuk Sabah yang diumumkannya baru-baru ini untuk tujuan keseluruhan pengurusan dan pembangunan.
“Beliau (Datuk Seri Ronald Kiandee) adalah mantan menteri, Timbalan Speaker, bacalah, apa yang tak fahamnya, peruntukan pengurusan, pengurusan seluruhnya RM16 bilion.
“Saya dah baca dengan teliti, jangan politikkan perkara itu, kalau nak lagi, bincang secara elok, saya dah terangkan,” katanya ketika ditemui di Pusat Penjaja Tanglin hari ini.
Tambah Perdana Menteri, beliau turut menyifatkan isu tersebut dibangkitkan kerana hanya mahu meraih perhatian bersempena dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang.
“Sekarang nak dekat PRN Sabah main sentimen itu, jadi macam mana orang Johor rasa, Sarawak rasa, Kelantan rasa.
“Ada peruntukan kita bantu, semua nak politik untuk apa untuk cerca, itu tak betul
“Jangan jadi politik picisan, meraih, (perhatian) padahal masa ada kuasa dulu kamu diam, ikut dahaja. Mana dia MA63 masa kamu berkuasa, sekarang kita bincang, laksanakan sebanyaknya , kuasa, tenaga, pendidikan, kesihatan , tambahan peruntukan, semua sekarang, saya nak tanya masa dia berkuasa dia buat apa,” ujarnya. – WILAYAHKU