Berita

Jangan pandang ringan kesan jenayah buli siber

Political Secretary to Prime Minister Azman Abidin speak to the media on various issues in Kuala Lumpur.— MUHAMAD SHAHRIL ROSLI/The Star
- Diterbit 13 Ogos 2024 7:11 PM MYT

RAKYAT Malaysia digesa lebih sensitif dan berhati-hati dalam penulisan di media sosial, kata Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Wilayah Persekutuan berkata semua pihak tidak boleh memandang ringan kesan daripada jenayah buli siber.

Beliau turut menyeru ahli-ahli PKR khususnya di Wilayah Persekutuan menjadi contoh teladan dalam menunjukkan budaya berpolitik di media sosial.

“Janganlah kita terikut-ikut dengan gaya bahasa yang kasar dan tidak beradab seperti yang diamalkan politikus-politikus lapuk.

“Sebaliknya marilah kita tampil dengan gaya yang profesional dan berhemah dalam setiap penulisan dan kata-kata di platform maya,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Azman, dalam usaha mengendalikan media sosial yang berhemah, masyarakat perlu menghayati dan menerapkan nilai hormat.

Beliau berkata langkah itu menjadi salah satu teras penting dalam konsep Malaysia MADANI yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Hormat menghormati adalah asas untuk membina masyarakat yang lebih harmoni dan bersatu padu.

“Dengan sokongan padu daripada semua lapisan masyarakat, saya yakin kita dapat menghentikan jenayah buli siber dan membentuk budaya berkomunikasi yang lebih positif dan membina,” katanya.

Menurut data Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), secara purata sebanyak 10 kes buli siber berlaku setiap hari di dalam negara ini dalam tempoh dua tahun sejak 2022 hingga 9 Julai lalu.

Presiden PKR, Anwar turut menzahirkan kegusaran beliau terhadap statistik yang membimbangkan itu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas