Selebriti

Jangan mudah panggil bimbo

- Diterbit 8 Mac 2024 9:55 AM MYT

PELAKON Alya Iman menyelar tindakan sesetengah individu yang menganggap ramai pelakon wanita muda sebagai bimbo.

Bagi Alya atau nama sebenarnya Nur Alya Iman Azmil, 22, gelaran bimbo yang bermaksud gadis cantik tetapi bodoh itu sebagai keterlaluan kerana ramai anak muda sekarang bijak mengatur masa depan mereka.

“Bagi saya, bimbo dan tidak berpendidikan adalah dua perkara berbeza. Apa yang penting adalah pandai bawa diri. Generasi seperti saya adalah bijak dan suka mencari ilmu walaupun bukan hanya di sekolah.

“Saya sendiri belajar sampai SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) saja, tapi saya sentiasa mencari ilmu di mana-masa sahaja saya pergi dan belajar macam mana nak hormat orang.

“Jadi tidak sepatutnya memberi gelaran tersebut kerana setiap zaman sudah pasti ada perbezaannya. Kami suka belajar sesuatu, rajin cari rezeki dan sebagainya,” katanya.

Menurut anak bongsu kepada pelakon hebat, Allahyarham Azmil Mustapha ini, budaya mudah menghukum itu sebenarnya memberi persepsi negatif kepada anak-anak muda yang sepatutnya diberikan semangat.

“Bagi saya, janganlah menghukum seseorang semudah itu. Rasanya umum tahu orang muda sekarang pandai cari duit sendiri. Misalnya ramai yang memulakan bisnes dan berusaha untuk majukan diri.

“Sepatutnya masyarakat sekarang memberi semangat dan mendoakan yang baik-baik buat generasi muda. Bukannya menghukum atau pandang negatif hanya secara luaran tanpa mengetahui hal sebenar,” katanya.

Bukan itu sahaja, gara-gara wataknya sebagai Dania dalam drama bersiri Rampas Cintaku 2, Alya Iman dikecam netizen.

Malah ada yang melabelkan kononnya watak Dania sebagai ‘penyondol’ atau wanita yang ganggu rumah tangga orang lain itu adalah sikap sebenar Alya di alam realiti.

“Kalau ada yang cakap saya seperti watak yang saya bawa tu, ikut suka merekalah. Tak semua orang kenal saya. Apa yang penting, keluarga dan kawan-kawan rapat tahu. Watak dalam drama, hanya dibawa mengikut skrip dan arahan pengarah.

“Saya tak rasa terkesan pun (apa orang cakap) sebab saya tahu apa yang betul dan apa yang salah. Cuma dilihat dari sudut positif, apabila ada orang terkesan dengan lakonan saya, itu bermaksud saya mampu membawanya,” jelas Alya.

Dalam masa sama, dia tidak mahu menjadi pelakon yang berharap kepada rupa paras dan populariti semata-mata. Untuk itu, Alya giat menggali ilmu dalam lakonan.

“Jika sebelum ini saya banyak belajar lakonan di lokasi penggambaran, sekarang saya keluar dari zon selesa dengan mengikuti kelas lakonan bersama Farah Ahmad selain turut mendapat tunjuk ajar daripada Pengarah seperti Eyra Rahman,” ujarnya yang kini semakin popular setelah membintangi drama bersiri Layang-layang Perkahwinan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas