Selebriti

Jangan malu dapat khidmat kaunseling

- Diterbit 7 Jun 2024 5:10 PM MYT

PENYANYI Lan Solo menyarankan agar ibu bapa yang mempunyai masalah tekanan perasaan atau jiwa perlulah mendapatkan khidmat kaunseling agar dapat mengelakkan daripada terjebak dengan penderaan.

“Tingkah laku yang tidak waras ini sering berlaku kerana ibu bapa hilang pertimbangan dan bertindak untuk melepaskan marah atau geram kepada anak yang masih lagi tidak mengenal erti kehidupan.

“Penderaan ini perlu dihentikan dan dicegah agar masyarakat kita menjadi lebih baik daripada sebelum ini. Antara langkah untuk mengatasi masalah penderaan kanak-kanak adalah dengan membudayakan perkhidmatan kaunseling untuk semua lapisan umur masyarakat.

“Jika dinilai, kebanyakan kes penderaan berlaku disebabkan oleh pendera mempunyai masalah kesihatan mental atau tekanan jiwa. Tekanan ini berpunca dari pelbagai sebab,” ujarnya.

Untuk itu, masyarakat harus bersifat terbuka menggalakkan mereka yang mempunyai masalah tekanan ini untuk mendapatkan kaunseling.

“Jangan takut atau malu. Akibat daripada memendam masalah akhirnya diri sendiri tertekan. Ini boleh menyebabkan mereka boleh bertindak di luar kawalan oleh kerana tidak mampu lagi untuk berfikir secara rasional.

“Justeru, setiap kita sebenarnya berhak untuk mendapatkan perkhidmatan kaunseling untuk meluahkan masalah dan tekanan yang ditanggung oleh diri sendiri. Dengan kepakaran seorang kaunselor, pastinya fikiran seseorang yang berada dalam tekanan dapat ditenangkan dan menjadi lebih rasional dalam setiap tindakan yang diambil.

“Insya-Allah, jika setiap kita memainkan peranan untuk mendengar dan memahami setiap permasalahan yang dihadapi, pasti masalah ini dapat dielakkan,” tambahnya. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas