SETAHUN pantas berlalu. Bulan Ramadan menjelma lagi. Umat Islam di negara ini dijangka mula berpuasa pada 12 Mac, menunaikan rukun Islam ketiga. Kawan-kawan Kedai Kopi ucapkan selamat berpuasa kepada semua.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, sempena bulan Ramadan, bazar Ramadan diadakan di seluruh negara, tidak terkecuali Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. Inilah masa memberi peluang kepada peniaga memperoleh rezeki.
Pada masa sama ia memudahkan orang ramai membeli juadah berbuka. Maklum ramai suri rumah bekerja. Apabila pulang dan sering tersangkut dalam kesesakan lalu lintas, sampai di rumah sudah lewat untuk masak-memasak.
Jadi pilihan terbaik ialah berkunjung ke bazar Ramadan. Banyak pilihan tersedia untuk keluarga, baik lauk-pauk atau kuih-muih, juga minuman pelbagai rasa.
Beberapa buah bazar Ramadan popular dan sinonim dengan warga WP Kuala Lumpur antaranya di Jalan Raja Alang, Kampung Baru; Jalan Tuanku Abdul Rahman (JTAR), Wangsa Maju, Danau Kota dan Taman Melati. Malah mereka yang berniaga di lokasi ini boleh mengharap pulangan yang baik.
Setiap tahun sambutan sangat menggalakkan. Jumlah permohonan jauh melebihi petak Ramadan yang disediakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Undian perlu dibuat, hanya yang terpilih akan mendapat lesen berniaga.
Lesen ini adalah milik penama, tidak boleh disewa atau dijual kepada orang lain. Oleh itu nasihat dan ingatan kawan-kawan Kedai Kopi kepada yang mendapat lesen, patuhi syarat yang ditetapkan. Jangan mengejar keuntungan segera atas angin. Kes seperti ini telah kerap berlaku sebelum ini.
Berniagalah sendiri, manfaatkan sepenuhnya lesen yang diberi. Pulangan hasil usaha sendiri lebih menguntungkan. Jika tidak, masakan ada yang sanggup membayar harga tinggi untuk menyewa lesen. Jangan malas atau memohon lesen semata-mata dengan niat untuk disewakan.