KAWAN-KAWAN Kedai Kopi ucap tahniah kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang bertindak tegas menghapuskan halangan di laluan pejalan kaki yang menyukarkan orang ramai menggunakan laluan berkenaan.
Baru-baru ini tindakan dilakukan dengan menyerbu beberapa restoran dan gerai tidak berlesen di kawasan Parlimen Bukit Bintang‚ dengan menyasarkan kepada menghapus halangan di laluan pejalan kaki.
Melalui operasi tersebut‚ penguat kuasa menyita kanopi‚ warung‚ meja dan kerusi yang diletak di laluan pejalan kaki. Operasi bertumpu di kawasan Chow Kit‚ Jalan Lebuh Pasar‚ Jalan Dewan Sultan Sulaiman‚ Jalan Sultan Azlan Shah dan Jalan Ipoh. Kompaun turut dikenakan kepada peniaga tidak berlesen.
Kawan-kawan Kedai Kopi sakit mata melihat banyak laluan pejalan kaki dihalang dengan pelbagai objek. Para peniaga haram tanpa rasa bersalah meletakkan halangan untuk memudahkan mereka berniaga.
Laluan pejalan kaki jelas maksud dan tujuannya. Ia adalah laluan atau lorong yang dikhaskan untuk kegunaan pejalan kaki.
Lantai laluan juga dilengkapi seni reka tertentu seperti tanda untuk memudahkan pergerakan orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan.